
Oleh: Nur Syahiirah Mohd Jawi / Foto: Nur Ain Mohd Ariffin (Labuan)
LABUAN, 28 Jul (Malaysiaaktif) – “Seramai 93 orang jemaah haji dari Wilayah Persekutuan (WP) Labuan terpilih untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini yang melibatkan 46 orang jemaah haji lelaki dan 47 orang lagi jemaah perempuan.”
Demikian kata Pengurus Lembaga Tabung Haji WP Labuan, Masniah Bakar pada Majlis Keberangkatan Bakal Haji KT 17 S Wilayah Persekutuan Labuan Musim Haji 1438H/2017M di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Labuan, petang tadi.
Menurut salah seorang jemaah, Sabtu Isa, 60, dia bersyukur kerana penantiannya selama 10 tahun untuk menunaikan Rukun Islam Kelima akhirnya dimakbulkan Allah pada tahun ini.
“Alhamdullilah, segalanya berjalan dengan lancar khususnya daripada pihak pengurusan Tabung Haji yang menguruskan kesemua keperluan dan perjalanan ke tanah suci pada musim haji tahun ini,” katanya.
Bagi pasangan suami isteri, Jalani Tinggal, 63, dan isterinya, Maya Kalsum, 56, mereka berasa amat bertuah kerana dijemput menjadi tetamu Allah ke Baitullah dan mengerjakan ibadah haji bagi tahun ini.
“Kursus Ibadah Haji Perdana yang dianjurkan oleh pihak Tabung Haji Labuan banyak memberikan manfaat kepada kami berdua bagi menempuh ibadah tersebut agar dirahmati Allah S.W.T dan menerima haji yang mabrur,” jelas Maya.
Pada majlis tersebut, seramai 52 orang jemaah haji menaiki pesawat MAS MH3070 ke Kota Kinabalu pada pukul 3.50 petang tadi dan dijangka berlepas ke Tanah Suci Mekah pada 29 Julai ini dari Kota Kinabalu setelah melapor diri di Lembaga Tabung Haji Kota Kinabalu, Sabah.
-DZ