Skip to main content
Berita TempatanSabah

Terima OKU Seperti Orang Biasa

By 29 Julai 2017Tiada komen6 minit bacaan

Laporan & Foto: Fauzrina Bulka (Sabah)

KOTA KINABALU, 28 Jul (Malaysiaktif) – Berhadapan dengan Orang Kelainan Upaya (OKU) adakalanya membuatkan kita kekok dan tersalah tingkah, risau tersalah kata, akhirnya kita hanya berlalu pergi tanpa melakukan apa-apa apatah lagi bertegur sapa.

Menurut Pengerusi Persatuan Berkerusi Roda Kota Kinabalu (Malaysia), Fariz Abd Rani, OKU juga ialah orang biasa, yang kita boleh berbual-bual dan berlawak sama seperti dengan rakan-rakan normal yang lain cuma kepada yang baru bertemu, mungkin ada beberapa tip yang boleh dipraktikkan supaya komunikasi yang bakal berlaku, berlangsung secara tidak janggal.

“Bersalaman bukanlah satu-satunya cara untuk menyapa. Senyum dan angkat tangan juga merupakan cara yang sopan untuk berkomunikasi. Bagi OKU dewasa, layan mereka secara dewasa juga dan jika tidak faham apa-apa yang dituturkan oleh mereka, minta diulang semula, sabar dan dengar dan jangan berpura-pura faham,” katanya.

Fariz ditemui ketika menyampaikan taklimat dalam Bengkel Media yang membincangkan Hak Kanak-Kanak dan OKU di Malaysia anjuran Unicef dan Malaysian Press Institute, semalam.

Mengulas lanjut katanya, pengguna kerusi roda sering dianggap mempunyai pelbagai jenis ketidakupayaan seperti lumpuh, pekak, bisu, bermasalah pembelajaran dan pengalaman tersebut turut dihadapinya sendiri.

“Saya ke sebuah farmasi untuk membeli vitamin bersama seorang rakan dan jurujual lebih berminat untuk bertanyakan keperluan saya kepada rakan dan tidak secara langsung kepada saya, malahan rakan saya pula terpaksa bertanya semula kepada saya untuk menjawab soalan jurujual,” ujarnya.

Sikap itu secara tidak langsung memperlihatkan betapa prejudisnya masyarakat terhadap individu yang bergelar OKU dan ini perlu diubah.

Fariz yang pada asalnya lahir sihat 39 tahun dahulu cedera parah di kakinya setelah terlibat dalam kemalangan motosikal pada 1998 ketika dia masih menuntut dalam jurusan fizik gunaan di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Menurutnya, sudah tiba masanya setiap keputusan dan pembangunan dalam sesebuah komuniti itu dilakukan dengan mengambil kira pendapat OKU kerana masih wujud soal diskriminasi dalam kehidupan seharian yang dilalui oleh mereka.

“Pasti kita pernah mendengar tentang dasar Aparteid apabila orang kulit hitam hanya dibenarkan untuk duduk di bahagian belakang bas kerana hanya kulit putih layak duduk di hadapan.

“Jika bas penuh, mereka akan dipaksa turun untuk membolehkan orang kulit putih duduk. Setelah sekian lama ditindas, akhirnya dasar Aparteid telah dihapuskan,” katanya.

Tambahnya, mantan presiden USA, Barrack Obama ialah seorang yang berkulit hitam, maka kesimpulannya kita perlu menukar dasar atau polisi sesuatu tempat dan bukan menukar warna kulit manusia atau hakikat jika seseorang itu ialah OKU supaya menjadi normal dalam sesuatu komuniti.

“Realiti kini tentang kebajikan OKU, pihak kerajaan ialah pihak yang paling banyak memainkan peranan dalam menjaga kebajikan OKU, diikuti dengan badan-badan bukan kerajaan seperti persatuan atau organisasi swasta,” jelasnya.

Kata Fariz, bantuan bulanan berbentuk kewangan turut diberikan kepada OKU dan penjaga OKU sendiri namun jumlah bantuan yang terbesar adalah dalam bentuk peralatan sokongan seperti anggota palsu, kerusi roda dan lain-lain.

“Penglibatan masyarakat dalam aktiviti berkaitan OKU juga berlaku peningkatan berbanding lima tahun lalu hasil daripada program-program kesedaran yang dibuat oleh NGO dalam bentuk seminar, ceramah mahupun aktiviti sukan seperti larian marathon.

“Kini, banyak kumpulan dan persatuan sukarelawan yang ditubuhkan dan mereka mengambil bahagian dalam aktiviti yang melibatkan OKU,” katanya.

Harapannya, pada masa hadapan, kanak-kanak yang lahir sebagai OKU akan dapat masuk ke sekolah aliran perdana bersama kanak-kanak yang lain belajar, bermain dan membesar bersama.

“Mereka tidak perlu lalui kesusahan dan diskriminasi yang kami alami sekarang. Diharapkan suatu masa nanti OKU akan dapat menggunakan pengangkutan awam seperti orang lain, dapat melibatkan diri dalam masyarakat tanpa ada halangan sikap masyarakat, fasiliti dan bangunan awam,” ujar Fariz.

Tambahnya, selama ini tidak ada sesiapa pun yang memperjuangkan hak OKU fizikal di Sabah, tapi Allah jadikan dirinya OKU agar ada orang yang tubuhkan kumpulan dan persatuan yang pertama di Sabah untuk membela OKU fizikal dan selain itu, banyak lagi hikmah yang lain yang diperolehnya.

Keluarga Azly bersama isteri Sunizua dan anak mereka Nur Syazleena ketika hadir ke program berkenaan.

Keluarga Azly bersama isteri Sunizua dan anak mereka Nur Syazleena ketika hadir ke program berkenaan.

Sementara itu, pada majlis yang sama keluarga Azly Atan, 48, dan Sunizua Zamri,44, turut dijemput untuk berkongsi pengalaman mereka dan juga penerimaan masyarakat terhadap anak bongsu OKU, Nur Syazleena atau Adeeq yang berusia 13 tahun.

“Sesetengah orang pasti melalui situasi yang berbeza, memang ada mata-mata yang memandang seperti jijik, tidak suka melihat atau dekat dengan anak istimewa.

“Adakalanya ibu-ibu mengandung juga cuba elakkan diri daripada memandang anak-anak ini mungkin bimbang mendapat anak yang sama, semua ini perkara biasa. Ada ibu bapa yang malu dan tertekan dengan situasi ini dan mula elak membawa anak-anak OKU bersosial, tetapi tidak pada kami,” ujar Sunizua.

Katanya, mereka tidak simpan Adeeq di rumah sebaliknya sentiasa dedahkan dia untuk bercampur gaul dan bersosial ditambah lagi sentiasa dijaga dan diurus dengan baik, bersih dan cantik jadi mereka tidak pernah rasa tertekan dengan pandangan masyarakat terhadapnya.

“Sebaliknya kami lihat masyarakat mula menerima anak-anak istimewa ini apalagi pada anak OKU yang dipenuhi dengan kasih sayang.

“Apabila di tempat awam kami zahirkan kasih sayang kami kepada Adeeq, yang memandang berasa terharu dan turut serta bagi sokongan kepada kami,” katanya

Adeeq dilahirkan seberat 1.05 kg di Hospital Queen Elizabeth, di sini secara pembedahan semasa kandungan baru berusia 28 minggu akibat lemas di dalam perut kerana air ketuban pecah.

“Adeeq kemudiannya ditempatkan di Ventilator selama dua bulan dan Ikubator selama satu bulan sebelum dibenarkan dibawa pulang,” ujarnya.

Tambahnya, pada usianya lima bulan, dikenal pasti bahawa perkembangan Adeeq agak perlahan dan kemudian dirujuk kepada pakar kanak-kanak dan dipantau dari semasa ke semasa hingga pada usia enam bulan mereka dimaklumkan bahawa Adeeq menghidapi Celebral Palsy (ketidakupayaan fizikal).

Menurut Sunizua mereka suami isteri tidak terkejut pertama kali mendapat tahu anak merupakan seorang OKU kerana sudah dimaklumkan dari awal kemungkinan-kemungkinan yang berlaku.

“Kami sudah bersedia kerana pada awal kelahiran Adeeq berada dalam keadaan kritikal dan kami sentiasa berdoa semoga usianya panjang dan sentiasa bersedia menerimanya walau dalam apa-apa keadaan sekali pun,”ujarnya.

Tambahnya, memang sebagai ibu bapa akan berasa sedih bila mendapat tahu anak mereka anak istimewa dan mereka juga tidak terkecuali tetapi disebabkan terlalu sayang akan anak dan tidak mahu kehilangannya, mereka tabahkan hati, kuatkan semangat dan sentiasa berfikiran positif.

Menurut Sunizua, Adeeq merupakan seorang yang bijak serta berfikiran jauh ke depan kerana pernah bertanya pada abang dan kakak-kakaknya jika pasangan mereka akan menerimanya dan menyayanginya kalau mereka kahwin suatu hari nanti.

Nur Syazleena bersama ibu bapanya ketika mengikuti beberapa acara yang diadakan oleh penganjur sesebuah program suatu ketika dahulu.

Nur Syazleena ketika mengikuti acara sukan.

“Adeeq punya semangat yang tinggi untuk ke sekolah sama seperti kanak-kanak normal lain. Pada awalnya dia tidak diterima memasuki sekolah aliran perdana sebab berkerusi roda dan tidak boleh urus diri.

“Tetapi atas semangat Adeeq dan kami yang kuat dan tidak berputus asa, akhirnya Adeeq diterima dan sewaktu di temu ramah, Adeeq merayu supaya diberi peluang bersekolah membuatkan guru penyelia pendidikan khas dan pegawai di Jabatan Pelajaran Sabah mengalirkan air mata melihat kesungguhan Adeeq dan mereka bangga dengannya,” ujar Sunizua.

Menurutnya, setahun selepas Adeeq dilahirkan, suaminya yang bertugas bersama Tentera Laut Diraja Malaysia terpilih untuk berkursus di Perancis selama empat tahun dan sepanjang tempoh itu kebajikan Adeeq dijaga sebaiknya oleh jabatan dan berterusan sehingga sekarang.

“Saya berjuang sendirian untuk mendapatkan keistimewaan dan hak-hak untuk anak saya sewaktu ketiadaan suami.

“Saya tetap uruskan anak saya untuk rawatan hospital, ke pusat komuniti, ke sekolah, ke pusat rawatan tradisional dan moden, boleh dikatakan saya tidak duduk diam, sentiasa usahakan apa sahaja untuk anak saya walau suami tiada di sisi pada ketika itu,” katanya yang menghargai bantuan ATM dan TLDM serta BAKAT(L).

Beliau juga berharap agar polisi tempat meletak kenderaan diselaraskan agar dapat digunakan kepada semua yang mempunyai ahli keluarga OKU dan tidak terhad kepada pemandu sahaja kerana kesulitan untuk menyediakan kerusi roda jika ditempatkan di ruang parkir biasa.

“Sebolehnya perbanyakkan juga tempat solat OKU di tingkat bawah bagi masjid yang jemaahnya bersolat di tingkat atas, ini kerana bagi yang menggunakan kerusi roda, amat sukar untuk solat di tingkat atas,” jelasnya.

Walaupun tidak dapat menjangkakan kehidupan anaknya pada masa akan datang dia sentiasa mendoakan agar anaknya mampu berdikari dan sekurang-kurangnya dapat menguruskan dan menjaga dirinya sendiri.

“Sebagaimana jawapan anak saya bila ditanya tentang cita-citanya, Adeeq kata dia tidak pasti tentang cita-cita lain, tetapi yang dia pasti dia bercita-cita untuk mampu berjalan dan berdikari,”ujar Sunizua.

Tinggalkan komen anda