Skip to main content
Berita TempatanSabah

Penduduk Semporna Bimbang Ancaman Anjing Gila

By 28 Julai 2017Tiada komen4 minit bacaan

Laporan & Foto: Abdul Hadi Abdul Ghani (Sabah)

SEMPORNA, 28 Jul (Malaysiaktif) – Penduduk sekitar pekan daerah Semporna meluahkan kebimbangan berikutan sering melihat sekumpulan haiwan anjing liar yang berkeliaran di pekan terbabit.

Menurut Penghuni Taman Lorong No.55, Pooh Long Majlis Daerah tidak mengambil sebarang tindakan serius terhadap kehadiran anjing-anjing yang terdapat di sekitar pekan ini.

“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seharusnya mengambil tindakan berjaga-jaga dan mengenakan beberapa tindakan waspada terutama terhadap pemilik haiwan yang membiarkan anjing mereka berkeliaran.

“Sudah tiba masanya PBT mengambil tindakan serius sebelum sebarang kejadian penyebaran wabak berlaku akibat daripada serangan anjing yang dikhuatiri dijangkiti virus terbabit”, katanya semasa ditemui di pekarangan rumahnya pada Khamis.

Menurut Pooh lagi, salah seorang jirannya memelihara kira-kira 10 ekor anjing yang dibiarkan berkeliaran pada waktu malam.

Walaupun masalah ini sering disuarakan setiap kali mesyuarat Jawatankuasa bertindak peringkat Daerah Semporna yang sering diadakan di Pejabat daerah Semporna setiap bulan tetapi masih tiada tindakan.

Pooh turut menceritakan satu kejadian seorang budak dikejar seekor anjing yang berkeliaran di kawasan terbabit.

“Nasib baik pemilik anjing terbabit ada berdekatan,” ujarnya sambil menyatakan budak terbabit juga tidak mengalami sebarang kecederaan.

Masalah anjing liar dilihat semakin serius di sesetengah kawasan di pekan terbabit termasuk taman-taman perumahan termasuk di beberapa buah kampung seperti di Kampung Bangau-Bangau dan Kampung Simunul.

Sementara itu, seorang lagi penduduk berdekatan dengan pekan yang hanya ingin dikenali sebagai Sofian, 20, berkata, anjing-anjing terbabit menyumbang kepada kekotoran yang berlaku ketika ini apabila sering menyelongkar sampah di tong-tong sampah yang berada di luar rumah atau di tempat-tempat pembuangan sampah berjadual.

“Perlakuan anjing yang menyelongkar sampah dilihat sebagai suatu yang biasa dan keserasian kehidupan anjing liar dengan masyarakat ini seolah-olah suatu yang biasa tanpa ada perasaan perkara tersebut perlu diubah.

Jelasnya, sebagai belia saya teringin melihat pekan ini cantik, bersih dan diurus dengan lebih baik seperti di beberapa tempat yang pernah saya kunjungi di pusat Bandar Kota Kinabalu.

“Masyarakat juga perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk menjaga kebersihan agar anjing-anjing terbabit tidak mengotorkan persekitaran selain PBT perlu mengambil tindakan terhadap pemilik anjing berkenaan”, ujarnya.

Tambahnya, walaupun tiada isu anjing liar berlaku di daerah ini, namun anjing liar perlu terus dikawal pembiakannya kerana inilah yang membimbangkan warga ini sebenarnya.

Pengarah, Hospital Daerah Semporna, Dr. Ong Tien Siang @Jason

Pengarah, Hospital Daerah Semporna, Dr. Ong Tien Siang @Jason

Penyakit Rabies yang dikesan akhir Jun di Sarawak ialah sejenis penyakit yang disebabkan oleh jangkitan Lyssavirus daripada haiwan seperti anjing yang dijangkiti rabies.

Rabies berjangkit melalui luka gigitan, luka terbuka pada kulit daripada air liur, cairan atau tisu tubuh dari haiwan tersebut kepada manusia. Masa inkubasi rabies ialah tiga minggu hingga dua bulan daripada gigitan haiwan rabid hingga timbul gejala.

Individu yang dijangkiti rabies akan mengalami tanda klinikal seperti demam, sakit badan dan kepala, hidrofobia, lumpuh dan koma. Rabies ialah satu penyakit yang menyebabkan kematian 100 peratus jika tanda-tanda terbabit timbul.

Dalam pada itu, Pengarah, Hospital Daerah Semporna, Dr.Ong Tien Siang @Jason mengesahkan bahawa setakat ini tiada kes yang membabitkan rabies berlaku di daerah terbabit.

“Setakat ini tiada kes berkaitan wabak ini dikesan di daerah ini, namun pihak hospital sentiasa melakukan pemantauan dan mengikuti perkembangan wabak ini sepertimana yang diarahkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri.

Jelasnya lagi, orang awam dinasihatkan agar sentiasa mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan dari dijangkiti seperti dapatkan rawatan segera di klinik atau hospital berdekatan apabila mengalami gigitan anjing.

“Laporkan kepada pihak berkuasa tempatan jika terdapat anjing liar di kawasan anda dan sentiasalah mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap membasuh tangan terutama apabila selepas menyentuh anjing peliharan.

“Bagi pemilik anjing dapatkan suntikan anti-rabies diklinik haiwan terdekat bagi mengelakkan wabak terbabit”, katanya semasa ditemu bual di Hospital Semporna.

Pegawai Daerah Semporna, (Dr) Chacho Bulah

Pegawai Daerah Semporna, (Dr) Chacho Bulah

Pegawai Daerah Semporna, (Dr) Chacho Bulah pula berkata Majlis Daerah Semporna sentiasa peka dengan situasi wabak ini dan mengarahkan semua unit penguatkuasaan segera membuat tangkapan anjing-anjing liar ini.

“Kita memandang serius terhadap aduan awam tentang kewujudan anjing liar yang berkeliaran di sekitar pekan, taman perumahan dan perkampungan di daerah ini.

Tambahnya, kita telah menggerakkan semua unit penguatkuasaan untuk menangkap dan akan bekerjasama dengan Jabatan Haiwan untuk mencari kaedah terbaik bagi penghapusan haiwan terbabit sebagai salah satu tindakan pengawalan pembiakan haiwan terbabit.

“Diharap masyarakat dan pemilik anjing juga perlu bekerjasama dengan pihak majlis bagi memastikan isu anjing liar ini dapat dikawal dan kembali memberi imej dan suasana selamat kepada penduduk di daerah ini”, katanya.

-SF

Tinggalkan komen anda