Skip to main content
Berita TempatanHomeLabuanWilayah Persekutuan

Hasil Gilap Bakat Sejak Tingkatan Satu, SMK Lajau Terima Hasilnya

By 18 Julai 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh: Mohd Faizal Mansor / Foto: Jeffrey Nian
LABUAN, 18 Julai (Malaysiaaktif) – Tidak dapat digambarkan betapa gembiranya seluruh pelajar dan guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lajau apabila pasukan bahasnya berjaya mendapat tempat ketiga di Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Peringkat Kebangsaan 2017.

Pasukan yang terdiri daripada lima orang pelajar sekolah tersebut mewakili Wilayah Persekutuan Labuan bertanding di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato Razali Ismail, Kuala Terengganu, Terengganu bermula pada 13 hingga 16 Julai lalu.

Kelima-lima mereka yang merupakan pelajar tingkatan lima adalah Thasmawaty Aripin, Irham Zulhilmi Md Johan,Nursafiah Lalim, Nur Alia Fathihah Ryzisyaini dan Nurul Fatin Nazeera Qaber.

Pengetua SMK Lajau, Yusup Mohammad

Pengetua SMK Lajau, Yusup Mohammad

Menurut Pengetua SMK Lajau, Yusup Mohammad, 49, kejayaan ini diibaratkan seperti kata pepatah Melayu, ‘melentur buluh, biarlah dari rebungnya’.

“Memang benar kata pepatah itu. Inilah berkat usaha kami dengan mengenal pasti dan mengilap bakat mereka dalam berbahas sejak mereka masih di Tingkatan Satu lagi,” ujarnya.

Menceritakan kepada pemberita sewaktu menyambut kepulangan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Labuan pagi tadi, Yusup berasa bangga kerana para pelajarnya dapat bersaing dengan para peserta dari sekolah yang bukan calang-calang hebatnya dari seluruh negara.

“Walaupun sekolah hanya berjaya ke peringkat suku akhir pada tahun lepas, namun saya bangga dengan daya usaha dan kecekalan mereka selama ini membolehkan mereka berjaya membawa pulang tempat ketiga pada tahun ini.

“Ini membuktikan, melalui program-program pidato yang diadakan di peringkat sekolah mahupun anjuran luar sekolah, berjaya mengenal pasti bakat-bakat yang boleh diketengahkan, dan hari ini usaha tersebut berhasil walaupun hanya mendapat tempat ketiga, namun kejayaan tersebut amat membanggakan,” kata Yusup lagi.

Ketua pasukan bahas SMK Lajau, Thasmawaty Aripin

Ketua pasukan bahas SMK Lajau, Thasmawaty Aripin

Bagi ketua pasukan bahas SMK Lajau, Thasmawaty Aripin, 17, dia bersyukur dan berterima kasih atas kepercayaan tenaga pengajar sekolah tersebut yang tidak mengenal erti jemu dalam membimbing mereka berlima untuk mengecapi kejayaan di peringkat kebangsaan ini.

Jelas Thasmawaty, yang turut muncul sebagai salah seorang pembahas terbaik pada pertandingan tersebut, dia dan rakan sepasukannya membuat persiapan dengan pembacaan isu-isu semasa serta mendalami pelbagai isu seperti kenegaraan, isu-isu persekolahan seperti masalah buli, alam sekitar serta maklumat berkaitan dengan Negara Asean.

Guru Pengiring pasukan bahas SMK Lajau, Muhd Hisyam Assim (dua dari kiri)

Guru Pengiring pasukan bahas SMK Lajau, Muhd Hisyam Assim (dua dari kiri)

Dalam pada itu, guru pengiringnya, Muhd Hisyam Assim, berkatapendedahan mereka terhadap pertandingan tersebut turut melatih mereka dalam menghadapi subjek Bahasa Melayu ketika menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kelak dengan mempraktikkan segala ilmu dan maklumat yang mereka cari dalam menghadapi pertandingan tersebut ketika menjawab peperiksaan nanti.

Pada pertandingan tersebut, Negeri Selangor muncul juara manakala negeri Sarawak meduduki naib johan manakala Wilayah Persekutuan Labuan dan Negeri Johor berkongsi tempat ketiga.

Turut menyambut ketibaan mereka adalah Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Hasbollah Hamid serta guru-guru kanan SMK Lajau.

 

-DZ

 

Tinggalkan komen anda