
Oleh: Mohd Faizal Mansor / Foto: Jeffrey Nian
LABUAN, 18 Julai (Malaysiaaktif) – Siaran radio Labuan FM boleh dijadikan platform bagi masyarakat Labuan, khususnya pendengar siaran tersebut, meluahkan pandangan dan isu-isu setempat yang berlaku di Labuan ini.
Menurut salah seorang pendengar yang juga seorang suri rumah, Siti Roha Donglah, 48, siaran Labuan FM banyak menyiarkan rancangan yang berinformasi khususnya rancangan ‘Edidih’ yang merupakan rancangan bahasa dialek tempatan Melayu Brunei-Kedayan.
“Rancangan Edidih oleh Labuan FM ini bagus kerana dengan program seumpama itu, bahasa tempatan dapat dipelihara dan generasi sekarang tidak akan melupakan bahasa dialek tempatan,” ujarnya.
Bagi pelajar, Nurain Mohd Arifin, 22, siaran Labuan FM turut memberi informasi berguna kepada para belia melalui undangan beberapa personaliti seperti pemimpin masyarakat yang berkongsi pengalaman dan idea-idea bernas, dan pada masa yang sama berita yang disalurkan kepada pendengar adalah diyakini tepat dan sahih.
“Say amat bersetuju bahawa siaran radio RTM mempunyai identiti sendiri khususnya gaya penyampaian berita yang jelas dan mudah difahami berbeza dengan siaran radio swasta yang kurang menyampaikan informasi berita kepada pendengar,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Labuan, Rohani Harithuddin, berkata melalui program ‘Sejenak Bersama Ketua Kampung’ yang diperkenalkan sejak bulan Mac lalu, ini merupakan salah satu platform bagi ketua-ketua kampung dan masyarakat akar umbi itu sendiri untuk menyuarakan permasalahan mereka demi pembangunan pulau bebas cukai ini.
“Saya bangga Labuan FM dapat dijadikan penghubung antara pemimpin masyarakat dengan masyarakat bagi berkongsi segala isu dan masalah untuk diatasi dan didengari oleh pemimpin atasan demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Rohani ditemui pada Program Hari Bersama Pendengar Labuan FM dan Majlis Rumah Terbuka RTM Labuan, di Perkarangan Labuan FM, di sini, petang tadi.
Menurut Ketua Bahagian Rancangan RTM Labuan, Wahidah Nadus @ Abdullah, walaupun wujud radio swasta yang lain, namun siaran radio RTM mempunyai identiti tersendiri iaitu dalam menyampaikan maklumat dan dasar-dasar kerajaan dengan lebih berkesan.
“Kita menyampaikan maklumat secara cepat, sahih dan padat dan ianya menjadi landasan supaya RTM lebih dikenali dan lebih telus dalam menyampaikan hasrat kerajaan kepada rakyat.
“Di samping itu, siaran radio kami bukannya untuk menyaingi siaran radio swasta tetapi siaran radio RTM saling melengkapi apa yang tidak disajikan oleh radio swasta kepada para pendengar,” ujar Wahidah mengakhiri perbualan.
-DZ