Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Penyakit Anjing Gila: Lagi Kawasan Diwartakan

By 24 Julai 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh : Mohd Baharruddin Mohamad(Sarawak)

KUCHING, 24 Jul (Malaysiaaktif) – Virus rabies atau penyakit anjing gila semakin menular di beberapa kawasan Serian dan Kuching. Setakat hari ini, mangsa kelima jangkitan virus ini telah meninggal dunia sekitar pukul 10.43 malam tadi di Hospital Umum Sarawak.

Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (WABAK RABIES) setakat ini senarai kawasan yang telah di wartakan kawasan wabak penyakit rabies iaitu Kampung Krait, Kampung Paon Rimu, Kampung Paon Rimu Bakung, Kampung Remun, dan Kampung Lebor.

Di antara kawasan lain yang turut diwartakan di kawasan Serian adalah Kampung Saroban, Kampung Tangga, Kampung Ampungan, Kampung Mentong Berawan, Kampung Mentong Silaga, Kampung Engkabang, Kampung Tampek Sumpas, Kampung Rasau, Pekan Siburan, dan Bandar Serian.

BERTUGAS: Pegawai Vaterinar, Dr. Sylmie (dari kiri) bersama-sama kakitangannya.

BERTUGAS: Pegawai Vaterinar, Dr. Sylmie (dari kiri) bersama-sama kakitangannya.

Manakala tiga kawasan turut diwartakan di Tebedu iaitu, Batu 45, Kuching-Sri Aman, dan Rh. Janta Punggu Mawang. Manakala satu kawasan di Sri Aman (Kampung Temong Mura), dan dua kawasan di Kuching; Kampung Entubuh Batu 5, dan Jalan Semeba.

Menurut Pegawai Vateriner, Dr Sylmie al-Harir setakat satu tengah hari tadi, sebanyak 1,827 ekor anjing yang dipelihara oleh seramai 1,004 orang pemilik hadir bagi mendapatkan vaksin untuk anjing peliharaan mereka.

“Operasi pemvaksinan anti-rabies hari ini, keutamaan diberikan kepada penduduk yang tinggal 10 km radius dari batu 5, Jalan Semeba, jelasnya semasa ditemui di Padang Bola Keranjang, Batu 7, di sini.

Operasi bermula dari pukul 10 pagi dan berakhir sekitar 4 petang tadi, dipecahkan kepada lima kumpulan yang dikendalikan oleh Pegawai Veterinar Dr Sylmie al Harir, Dr Nora, Dr.Sylmie, Dr Ong, Dr.Melia dan Dr Rachel.

“Setiap kumpulan disediakan sebanyak 400 botol vaksin untuk 2,000 ekor anjing dan setakat ini pihak kami akan memohon sebanyak 15 botol tambahan kerana semakin ramai pemelihara anjing datang untuk membuat pemvaksinan peliharaan mereka pada hari ini,” ujarnya lagi.

Beliau menerangkan rabies adalah penyakit sistem saraf yang disebabkan oleh jangkitan virus dan virus ini merebak daripada haiwan kepada manusia.

“Berlakunya penyakit ini kebiasaannya melalui luka gigitan haiwan,luka terbuka pada kulit dari air liur haiwan dan cairan atau tisu tubuh dari haiwan.

“Pesakit hanya menunjukkan tanda-tanda diserang virus ini seperti demam, sakit dan lenguh pada tempat gigitan, kelesuan otot badan dan sakit kepala di antara 20 hingga 90 hari selepas digigit haiwan terdedah virus.

“Tanda gejala apabila virus telah menyerang sistem saraf ialah keresahan serta kegelisahan, perubahan sikap secara tiba-tiba, kekeliruan, ketakutan terhadap air, kesukaran menelan, insomnia dan lumpuh,” jelasnya lagi.

Sebahagian daripada pemilik anjing hadir untuk mendapatkan vaksin.

Sebahagian daripada pemilik anjing hadir untuk mendapatkan vaksin.

Doktor Sylmie menasihatkan mangsa yang digigit anjing agar segera mencuci bahagian luka dengan sabun dan air yang mengalir sekurang-kurangnya 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur dan bersegera dalam mendapatkan rawatan luka di klinik kesihatan atau hospital berhampiran.

Untuk mencegah jangkitan rabies pula, jangan mendekati haiwan liar untuk mengurangkan risiko digigit terutamanya kanak-kanak dan elakkan diri daripada gigitan haiwan terutamanya anjing.

“Anjing-anjing yang sudah divaksin disaran agar dikurung sekurang-kurangnya sebulan atau lebih sehingga wabak ini berakhir dan anjing-anjing yang sudah divaksin akan ditanda agar mudah dikenal pasti,” katanya lagi.

Beliau juga menyeru kepada penduduk yang berdekat supaya datang untuk memberi vaksin kepada anjing peliharaan mereka.

Aurelia Dulce Ching, pemelihara anjing yang hadir di dalam program pemvaksinan anjing ini, cukup positif dengan komitmen kerajaan dalam menangani isu ini.

“Syukur kerana pihak kerajaan memberi vaksin secara percuma tanpa mengeluarkan duit dan kita perlu berjaga-jaga sebelum terkena. Kita sayang anjing kita maka kita perlu menjaganya dengan sebaik-baiknya agar tidak dijangkiti virus rabies ini.

“Saya berharap mana-mana jiran yang ada memelihara anjing agar tampil datang untuk memberi vaksin kepada anjing peliharaan mereka agar sama-sama berjaga-jaga,” ujarnya.

 

-SH

Tinggalkan komen anda