Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajayaSelangorViralWilayah Persekutuan

Program MyMerdeka Semarakkan Semangat Patriotik

By 29 Julai 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan oleh: Aimi Huwaina / Foto: Fariz Faizal Mohd Nazri (Putrajaya)

SUBANG JAYA, 29 Julai (Malaysiaaktif) – Bagi menyampaikan informasi kenegaraan berbentuk hiburan bermaklumat sempena sambutan bulan kebangsaan, Program MyMerdeka dilaksanakan di sini hari ini.

Menurut pengunjung yang berasal dari Klang, Roslan Alias, 32, program seperti ini adalah bagus untuk generasi muda bagi memupuk semangat mereka untuk cintai tanah air dan mengingati kesusahan orang-orang dulu sebelum merdeka.

“Banyak kemajuan daripada dulu sehingga sekarang, banyak perbezaan dari segi ekonomi kita, pembangunan, pendidikan,” katanya.

Sementara itu, pengunjung yang berasal dari Gombak , Rosmiza Razak, 35, berkata rakyat Malaysia patut bersyukur dengan keamanan negara dan mengenang jasa-jasa pahlawan-pahlawan sebelum ini yang memerdekakan negara.

“Kepentingan memahami kemerdekaan negara adalah untuk menyedarkan kita agar terus mengekalkan keamanan, bersatu padu dengan seluruh rakyat Malaysia.

“Antara cara meningkat semangat sambutan bulan kebangsaan adalah melalui pameran-pameran dan majlis tahlil untuk mengingati jasa-jasa pahlawan sebelum ini,” katanya.

Jelas Rosmiza, program-program sebegini boleh membantu untuk menaikkan semangat rakyat Malaysia bagi mengingati peristiwa kemerdekaan negara.

Rosmiza Razak mengunjungi Program MyMerdeka bersama suami dan anaknya.

Rosmiza Razak mengunjungi Program MyMerdeka bersama suami dan anaknya.

Bagi pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Choh, Nur Safirah Johan Adzhar, 18, sambutan bulan kebangsaan boleh menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kemerdekaan ini pada saya, satu sambutan yang menggalakkan lagi rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan remaja juga salah satunya.

“Saya suka dengan program macam ini. Saya boleh sertai dan tengok cara penyampai diaorang. Sebelum ini tak pernah sertai program seperti ini,” katanya yang datang bersama rombongan sekolah dan guru.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Choh, Nur Safirah Johan Adzhar.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Choh, Nur Safirah Johan Adzhar.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Mohid Mohamed berkata, pengisian program ini menyediakan pecahan topik dan aktiviti menarik kepada masyarakat pelbagai peringkat umur untuk melihat kembali sejarah perkembangan negara dari dahulu hingga kini.

“Saya menyeru agar kita jaga dan tatang imej negara… Kita sudah merdeka 60 tahun, merdekakan juga jiwa dan pemikiran sempit dan sifat asyik ingin bertelagah sesama sendiri.

“Kita berhak menikmati kesejahteraan negara tanpa ada rasa prejudis perkauman dan sebagainya,” katanya pada Majlis Perasmian Program MyMerdeka.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Mohid Mohamed melawati tapak pameran bersama Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, Datuk Ibrahim Abdul Rahman.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Mohid Mohamed melawati tapak pameran bersama Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, Datuk Ibrahim Abdul Rahman.

Program tiga hari anjuran Jabatan Penerangan Malaysia dengan kerjasama Mydin selaku strategik seperti Mydin ini, turut dimeriahkan dengan Pertandingan Bintang Patriotik, Pertandingan Sketsa Negaraku, lukisan karikatur dan pelbagai pameran serta kuiz oleh agensi-agensi kerajaan lain seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia FINAS.

Program MyMerdeka juga akan dilaksanakan di empat lokasi lain iaitu Mydin Bukit Mertajam (11-13 Ogos), Mydin Gong Badak (17-19 Ogos), Mydin Ayer Keroh (8-10 September) dan Mydin Meru Raya (15-17 September).

Turut hadir, Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, Datuk Ibrahim Abdul Rahman.

 

Tinggalkan komen anda