Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Gandingan Menjadi Pensyarah dan Pelajar

By 29 Julai 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh : Mohd Baharruddin Mohamad /Jaed Tepus (Sarawak)

KUCHING, 29 Jul (Malaysiaaktif) – Gadingan mantap antara dua pensyarah dan dua pelajar Politeknik Kuching berjaya menobatkan kumpulan mereka yang dinamakan ‘Bintang Poliku’ sebagai Juara Pertandingan Pengisahan Negaraku Peringkat Negeri Sarawak tahun ini.

Kumpulan yang terdiri tiga anak muda tempatan berbangsa Melayu, Bidayuh dan Iban telah mempersembahkan pengisahan bertajuk ‘Sharip Masahor; Wira Tersohor’ dan sekali gus membawa pulang piala kejuaraan, sijil dan wang tunai RM3,000.

Bintang Poliku berharap dapat memberikan persembahan terbaik pada peringkat kebangsaan nanti.

Bintang Poliku berharap dapat memberikan persembahan terbaik pada peringkat kebangsaan nanti.

Bintang Poliku akan mewakili Sarawak ke peringkat Kebangsaan yang akan diadakan September nanti.

Menurut Khalid Hussein Tuah, ahli kumpulan Bintang Poliku, berkat latihan tanpa henti telah membuahkan hasil.

“Latihan selama satu bulan membawa kejuaraan pada hari ini dan kami bertekad untuk berlatih bersungguh-sungguh agar dapat mengulangi kejuaraan di peringkat kebangsaan nanti,” ujarnya.

Breanly Gilertson Megol, tidak menyangka akan muncul sebagai juara kali ini.

“Jujur saya tidak menyangka kami akan menjadi juara dan berbangga kerana dapat mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan.

“Selepas ini kami akan lebih banyakkan latihan agar kelemahan sebelum ini dapat dibaiki dan mempersembahkan persembahan terbaik di peringkat seterusnya nanti,” katanya.

“Nilai-nilai patriotik yang diselitkan dalam pengisahan ini secara tidak langsung dapat memupuk rasa cintakan negara,” jelas David Patrick, ahli Bintang Poliku.

“Kumpulan kami berharap dapat memberikan persembahan terbaik ketika bersaing dengan peserta dari seluruh negara di peringkat kebangsaan nanti dan berdoa agar kami dapat mengharumkan negeri Sarawak nanti, jelasnya lagi.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Prof. Dr. Sim Kui Hian berkata, Pertandingan Pengisahan Negaraku anjuran Jabatan Penerangan Negeri Sarawak ini boleh dijadikan sebagai medium untuk mengasah bakat mereka sekali gus mampu melahirkan bakal-bakal pemimpin akan datang serta memperingatkan akan sejarah negara.

“Hari Sarawak yang kita raikan pada 22 Julai lepas membawa kita lebih menghargai kemerdekaan ini dan seharusnya menjaga negeri ini dengan sebaik-baiknya agar lebih maju dan aman,” ujarnya.

-SH

Tinggalkan komen anda