
Laporan dan foto oleh: Norhazlinawati Mat & Parameswary Lekshmnan (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Malaysiaaktif) – Sambutan Hari Kebangsaan ke-60 kali ini bakal menampilkan kelainan dalam pengisian acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2017 di Dataran Merdeka, di sini pada 31 Ogos nanti.
Seramai 1,380 pelajar dari 45 sekolah menengah dan sekolah rendah sekitar Selangor bakal menghidupkan kembali suasana waktu penjajahan dan perjuangan rakyat dalam menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.
Menurut salah seorang jurulatih dari Jabatan Pendidikan Selangor, Nuzul Ainie Marzukhi, 36, para pelajar telah menjalani latihan selama hampir dua bulan bagi memastikan persembahan berjalan lancar.
“Pihak sekolah akan mengadakan kelas tambahan untuk ulang kaji pelajaran yang tertinggal kepada pelajar yang terlibat dalam persembahan ini,” katanya.
Sementara tu, peserta persembahan padang, Cempaka Nur Ain, 16, berasa sangat bertuah dan berbangga kerana berpeluang untuk mengambil bahagian dalam persembahan pada tahun ini setelah melalui beberapa proses pemilihan.
“Saya juga bersyukur dapat sokongan penuh daripada ibu bapa yang sanggup hantar seawal jam 5 pagi untuk sesi latihan,” kata Cempaka yang ditemui pada sesi raptai penuh Hari Kebangsaan.
Jelas Cempaka, persembahan yang mengimbas kembali nolstagia 1957 ini dapat memberi kesedaran kepadanya atas pengorbanan dan keperitan pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu untuk mencapai kemerdekaan.
Sambutan bulan kebangsaan pada tahun ini adalah sangat bermakna seiring dengan kejayaan Malaysia yang mencapai sasaran dengan 111 pingat emas dalam Sukan SEA Ke-29 malam tadi.
– AH