Skip to main content
Berita TempatanSabah

Rokok Boleh Beli, Mengapa Tidak Bendera?

By 28 Ogos 2017Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Laporan & Foto: Fauzrina Bulka (Sabah)

SEMPORNA, 28 Ogos (Malaysiaaktif) – “Sungguh malu pada sesiapa yang mengaku rakyat Malaysia tetapi berkira hendak beli bendera, kalau rokok boleh beli, mengapa tidak bendera?

Demikian kata seorang tukang kasut, Mahadir Motod, 29, ketika menerima pengagihan bendera oleh Ahli Dewan Undangan Negeri N.54 Bugaya, Datuk Ramlee Marahaban dalam Program Kembara Merdeka Negaraku (KMN) anjuran Jabatan Penerangan Sabah Bahagian Tawau pada hentian kedua di pekan Semporna petang Sabtu.

Ramlee (bertopi) menyerahkan sehelai jalur gemilang kepada Mahadir pada program KMN

Ramlee (bertopi) menyerahkan sehelai jalur gemilang kepada Mahadir pada program KMN

Kelihatan tiga bendera kecil telah dipacak oleh Mahadir pada kotak tempatnya meletakkan kasut-kasut pelanggan yang memerlukan khidmatnya untuk dibaiki.

“Sebatang ini murah saja, jadi tak perlu terlalu berkira, kadang-kadang ada yang marah bila tidak dapat bendera percuma daripada pejabat kerajaan, apa salahnya keluarkan belanja sikit.

“Bersyukurlah mereka ada kad pengenalan, memang sudah sah warganegara Malaysia, mahu tunjuk sayang akan negara pun berkira jika dibandingkan dengan saya yang bermasalah dengan sijil lahir,” ujar Mahadir.

Dia yang dahulunya seorang pengawal keselamatan terpaksa meletakkan jawatan kerana bermasalah tiada sijil lahir dan majikannya tidak mahu bertanggungjawab dengan mengupahnya.

“Masalah bermula kerana ketiadaan surat nikah arwah ibu dan bapa saya, dulu bapa saya ada kad pengenalan lama tetapi tidak sempat ditukar kepada yang baharu kerana meninggal. Jadi proses untuk memohon sangat panjang dan bermasalah,” jelasnya.

Mahadir yang telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak turut berharap agar masalah tersebut dapat diselesaikan secepatnya agar dia dapat bekerja makan gaji demi kelangsungan hidup berkeluarga.

“Dalam sehari membaiki kasut adakalanya saya dapat mengumpul upah dalam RM30 atau RM40, tapi itu juga bergantung jika ada pelanggan, setakat untuk membeli makanan kami empat beranak memang cukup,” katanya.

Walaupun dia merasa selesa berniaga di tepi-tepi lot kedai, namun turut menerima jika dapat bantuan daripada pihak-pihak berkaitan ditempatkan di lokasi yang lebih selesa.

“Tetapi selagi urusan sijil lahir belum selesai, bukan sahaja pekerjaan malah imbuhan daripada kerajaan juga mungkin tidak akan dapat saya rasai,” ujar Mahadir yang turut menerima bendera daripada Ramlee.

4. Ramlee sedang meletakkan jalur gemilang pada kenderaan yang lalu di pusat bandar pekan semporna

Ramlee sedang meletakkan jalur gemilang pada kenderaan yang lalu di Pekan Semporna

Ramlee yang juga Pembantu Menteri Kewangan Negeri Sabah turut memberikan respons ketika diajukan soalan tentang isu berkaitan sijil lahir dan kad pengenalan diri.

“Alhamdulillah sejak kita merdeka, proses untuk mendokumentasikan rakyat Malaysia khasnya di Semporna ini sebenarnya berjalan dengan baik.

“Sebenarnya kerajaan dari semasa ke semasa ingin memperbaharu dan juga mencari jalan yang terbaik agar dapat diselesaikan,” katanya.

Menurutnya, mereka maklum masalah dokumentasi di Semporna adalah agak kompleks namun atas usaha Jabatan Pendaftaran Negara dan juga pemimpin masyarakat dapat bersama menggembleng tenaga mencari kaedah penyelesaian.

“Kita turut berharap agar dapat menyelesaikan masalah dokumentasi supaya rakyat kita yang ada di Semporna ini turut dapat merasai bahawa mereka ialah anak watan Malaysia  dan menjunjung kedaulatan negara,” katanya.

2. 30 buah kenderaan Rombongan Kembara Merdeka Negaraku semasa tiba di pekan semporna

300 buah kenderaan Rombongan KMN semasa tiba di Pekan Semporna

Dalam program itu, Ramlee menyambut ketibaan Konvoi KMN Bahagian Tawau dari Lahad Datu dan berjalan kaki bersama-sama peserta menuju ke pekan untuk mengagihkan bendera ke kedai-kedai dan juga kenderaan.

Semporna merupakan persinggahan terakhir konvoi selama dua hari yang bermula semalam dengan penyertaan lebih 30 buah kenderaan daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

SF

Tinggalkan komen anda