Skip to main content
Berita TempatanSabah

Doa Kejayaan Iringi Atlet Sabah Di Sukan SEA 2017

By 16 Ogos 2017Ogos 23rd, 2017Tiada komen7 minit bacaan

Laporan: Muhammad Khairul Azad Yunus / Foto: Azman Jumat (Sabah)

KOTA KINABALU, 16 Ogos (Malaysiaaktif) – Temasya sukan terbesar untuk negara-negara Asia Tenggara kembali menghangatkan pentas sukan negara pada tahun ini dengan membabitkan 38 jenis sukan dan 404 acara.

Selepas kali terakhir menjadi penganjur pada 2001, Kuala Lumpur sekali lagi menjadi tuan rumah untuk Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 yang dijenamakan sebagai Kuala Lumpur 2017.

Jika 2001 kontinjen Malaysia berjaya merangkul gelaran juara keseluruhan dengan 111 pingat emas, pastinya kegemilangan itu mahu dicapai sekali lagi pada Sukan SEA edisi kali ini yang akan membuka tirai secara rasmi pada 19 Ogos ini.

Sasaran untuk menjadi juara keseluruhan tidak akan datang bergolek begitu sahaja tanpa perancangan dan usaha keras yang bersepadu di antara semua pihak berkaitan.

Sudah tentu setiap atlet yang menggalas harapan hampir 30 juta rakyat Malaysia sudah merasa bahang dan tekanan untuk berjuang berhabis-habisan di laman sendiri.

Sabah juga tidak pernah gagal membekalkan barisan pejuang buat negara pada setiap kali temasya Sukan Sea termasuk pada Kuala Lumpur 2017.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah (MSNS), Terrance Edward Pudin berkata seramai 28 orang atlet Sabah daripada 12 jenis sukan berjaya terpilih untuk menyertai Sukan SEA ke-29.

Terrance menunjukkan senarai atlet negeri Sabah yang terpilih ke Sukan SEA ke-29.

Terrance menunjukkan senarai atlet negeri Sabah yang terpilih ke Sukan SEA ke-29.

“Kita harap semua atlet yang terpilih dapat memberikan komitmen yang cukup baik dengan mengekalkan disiplin yang tinggi di samping menjaga nama negara dan Sabah.

“Semoga mereka dapat membantu Malaysia merealisasikan sasaran memperoleh 111 pingat emas sekali gus menjadi juara keseluruhan terutamanya menerusi Rayzam Shah Wan Sofian dalam acara 110 meter lompat pagar, Fatin Faqihah Mohd Yusof dalam acara 4×400 meter wanita, Fatin Nurfatehah Mat Salleh dan Lee Kin Lip dalam sukan memanah.

“Harapan kita untuk mendapat pingat emas juga menerusi Juliani Mohamad Din dan Surizan Awang Noh dalam sukan hoki padang wanita serta Jellson Jabilin dan Gabriel Gilbert dalam acara terjun.

Terrance berkata demikian semasa di temui di Pejabat Majlis Sukan Negara, Negeri Sabah pada Isnin.

Tambahnya, antara atlet Sabah yang lain ialah Loro Wlkinson Peuji (Angkat Berat), Asma Juniadi, Usliza Usman, Shereilynn Elly Pius, Jaciah Jumilis, Masturah Majid, Ji Fedaliah Claritta Jaimin, Dadree Rofinus, Eslilah Esar, Haidee Mosroh (Bola Sepak Wanita), Mohd Ridzwan Bakri (Futsal Lelaki), Pressy Misty Philip (Karate), Euphrasia Anne Claris, Henrietta David (Ragbi Wanita), Emilia Eva Natasha, Kamisah Khamis (Sepak Takraw Wanita ), Mohd Fareez Izwan (Skuasy lelaki ) Lai Wen Li (Squasy Wanita ) dan Ibrahim Amir , Muhammad Almie Muhamad Yakup (Snuker & Billiard).

Jelasnya, seramai 30 atlet negeri menerusi sembilan jenis sukan juga disenarai pendek dalam sesi pemilihan mewakili negara dalam Sukan Para ASEAN ke-9.

Antara atlet tersebut ialah Doriah Paulus, Adderin Majurin, Shamli Wahdi, Eddie Bernard, Eryanto Bakhtiar, Felicia Mikat, Saiful Dawang,Jacklon Ganding, Sabarudding Bacho, Shahnizam Kassim,Nelson, Jonathan Wong, Junier Meccater Julius (Olahraga), Mohd Sibil Guri, Didin Terasoh (Badminton), Haswadi Moliadi (Lawan Pedang), Nating Lendeh, Mohd Fadhil Abdullah, Mohd Zamrin Kassim,Sabri Mohd Nor, Harman Halion (Bola Tampar Duduk), Muhammad Lizan, Amrin Sani, Mohd Azizul, Ali Omar (Ping Pong), Rollen Marakim (Bola Sepak), Rozana Mail, Lidwina Isidore Andilah (Memanah), Mohd Khairul Hazwan Wahab (Berbasikal) dan Azuan Amir Hassan (Tenpin Boling).

“Kita harap kesemua 30 orang atlet ini akan kekal terpilih ke Sukan Para ASEAN ke-9 kerana ada antara mereka mampu menyumbang emas buat negara seperti Felicia Mikat, Doriah Paulus, Samli Wahdi, Eddie Bernard, Eryanto Bakhtiar dan Didin Terasoh,”jelasnya.

Terrance berkata, pihak kerajaan menerusi agensi berkaitan seperti MSNS, Institut Sukan Negara (ISN), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Belia dan Sukan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan persatuan sukan negeri sentiasa berganding bahu menjalankan program-program pembangunan sukan bagi melahirkan lebih ramai atlet yang berkualiti.

Warga Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah turut tidak ketinggalan menzahirkan tanda sokongan kepada atlet Malaysia terutama atlet paralimpik Sabah.

Warga Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah turut menyokong atlet Malaysia terutama atlet paralimpik Sabah.

“Semua atlet ini kita cungkil dan asah bakat mereka menerusi pelbagai program seperti Sukan Sabah (SAGA), Sukan Malaysia (SUKMA) dan Talent Identification Programme (TID).

“Kita juga masuk ke pelusuk kampung bersama Unit Sukan Prestasi Tinggi (USPTN) untuk mengenal pasti atlet yang berpotensi untuk dilatih dengan sistematik dan diserap ke Sekolah Sukan Malaysia Sabah atau pusat-pusat latihan yang ada diseluruh negeri.

Kerajaan juga menurutnya menyediakan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi memberi motivasi yang berkesan bagi atlet mencapai kemenangan dan menjadi juara dalam sukan antarabangsa yang membawa prestij kepada negara.

“Pemenang pingat emas di Sukan SEA bakal menerima 20 ribu ringgit untuk emas pertama daripada Majlis Sukan Negara, manakala Majlis Sukan Negeri akan memberikan 10 ribu ringgit dan skim ini juga terpakai untuk atlet paralimpik,” ujarnya.

Manakala bagi atlet Orang kelainan Upaya
(OKU) Penolong Pengarah Kanan Pengurusan, Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) Sabah, Joshua Jalin berkata golongan OKU juga mempunyai potensi dan berfikiran seperti seorang juara serta mampu memberi sumbangan besar buat negara.

“Bagi saya mereka ialah juara sebenar kerana berani untuk bersaing dan berjuang atas nama Malaysia dalam Sukan Para ASEAN dan doa kami sentiasa mengiringi perjuangan mereka memburu pingat emas.

Tambahnya, JKM turut bertanggungjawab melahirkan atlet-atlet paralimpik yang telah terbukti bertaraf antarabangsa antaranya menerusi Sukan Special Olympic yang diadakan dua tahun sekali dan penubuhan Kompleks Pemulihan Orang Kurang Upaya (KPOKU) Kimanis, Papar.

“KPOKU bukan sahaja memberikan latihan kemahiran dan vokasional tetapi turut memberi latihan dalam bidang sukan.

“Antara atlet yang lahir daripada pusat itu dan turut termasuk dalam senarai pendek ke Sukan Para ASEAN ialah Doriah Paulus, Adderin Majurin, Saiful Dawang, Sabarudding Bacho, Nelson, Muhammad Lizan, Rozana Mail dan Lidwina Isidore Andilah,” jelasnya semasa ditemui di pejabat Jabatan Kebajikan Malaysia Negeri Sabah pada Isnin.

Selain itu, isteri pemegang rekod kebangsaan acara 110 meter berpagar, Rayzam Shah Wan Sofian iaitu Eriyana Mohd Idris,29, mendoakan yang terbaik buat suaminya yang ingin menebus kekecewaan dengan merampas kembali kilauan pingat emas yang terlepas pada Sukan SEA 2015.

Eriyana Mohd Idris bersama gambar suami yang sentiasa berada di pejabatnya.

Eriyana Mohd Idris bersama gambar suami yang sentiasa berada di pejabatnya.

“Saya tahu dia berlatih sangat kuat, harap-harap rezeki emas untuk dia dan kontinjen Malaysia pada Sukan SEA kali ini.

“Dia seorang yang atlet yang sangat berdisiplin sehinggakan kadang kala tidak menjamah masakan saya untuk menjaga berat badannya.

Eriyana turut berkongsi detik-detik Rayzam Shah mengatasi rekod lama 13.73 saat milik Nur Herman Majid yang berusia 23 tahun.

“Saya masih ingat dia menghubungi saya dalam keadaan masih tercungap-cungap selepas menghabiskan larian dan membuat catatan rekod baharu kebangsaan 13.67 saat,” kongsinya.

Eriyana yang bertugas sebagai Pengurus Asrama Kinabalu, Kompleks Sukan Kota Kinabalu, berkongsi ucapan yang pernah diluahkan suaminya iaitu “Sea Games tahun ini, emas saya punya,”

Bagi Sulin Eban, 54, kenangan manis anak sulungnya membawa pulang dua pingat emas buat Kontinjen Sabah di Sukan Malaysia 2008, Terengganu tetap terpahat dalam ingatannya.

Sulin (kanan) dan Mat Salleh (kiri) tidak jemu melihat koleksi keratan akhbar mengenai kejayaan Fatin.

Sulin (kanan) dan Mat Salleh (kiri) tidak jemu melihat koleksi keratan akhbar kejayaan Fatin.

“Masa itu saya hanya sasarkan pingat gangsa buat Fatin, tetapi dia berjaya melakukan pencapaian luar biasa termasuk mengalahkan dua atlet kebangsaan,” kata ibu kepada ratu memanah negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh.

Manakala kejayaan Fatin menghadiahkan tiga pingat emas dalam tempoh satu hari pada Sukan SEA 2015 pula menjadi kenangan paling manis buat ayah Fatin iaitu Mat Salleh Ayub, 53.

Mat Salleh dan Sulin mendoakan anak mereka dapat melakukan yang terbaik dan mengulangi sejarah gemilang Fatin di Sukan SEA 2015 di Kuala Lumpur dengan mempertahankan tiga pingat emas pada edisi Sukan SEA lalu menerusi acara compound.

Mengimbau kembali pembabitan awal Fatin dalam sukan itu, ibunya berkata Fatin hampir meninggalkan sukan memanah selepas mengalami kecederaan.

“Fatin alami kecederaan dan berehat selama setahun semasa awal pembabitannya menerusi acara recurve, mujur jurulatih memanah selangor mencadangkan kepada Fatin untuk beralih kepada acara compound.

“Dari situlah Fatin mula mengorak langkah dan mengukir kejayaan demi kejayaan dalam banyak sirkit kebangsaan, SUKMA dan Sukan SEA,”kata ibunya yang ditemui Malaysia Aktif di kediamannya di Taman King Fisher, Likas semalam..

Jelas Sulin lagi, mereka sekeluarga sudah tidak sabar berlepas ke ibu negara untuk memberi sokongan moral kepada Fatin yang bakal membuat penampilan ke lima pada Sukan SEA nanti.

Mat Salleh turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu mengembangkan karier sukan anaknya dari awal pembabitan hingga ke hari ini.

“Kami ingin berterima kasih kepada Majlis Sukan Negara dan Negeri, Kementerian Pendidikan Tinggi serta semua agensi yang berkaitan kerana Fatin telah terima pelbagai bantuan seperti biasiswa sukan yang telah dinikmati sejak di peringkat diploma hingga sarjana,”luahnya penuh syukur.

Bekas pemain bola sepak sensasi negara, Datuk Hassan Sani turut merakamkan ucapan selamat maju jaya kepada semua atlet Sabah yang bertanding di Sukan SEA 2017.

“Selamat maju jaya kepada kontinjen Malaysia terutama atlet-atlet dari Sabah yang dipilih, berusahalah bersungguh-sungguh kerana bukan senang dan hanya yang terbaik akan terpilih mewakili negara.

“Berjuanglah sepenuh hati demi maruah negara,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

SF

Tinggalkan komen anda