Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

Bank Negara Perkenal Duit Syiling Sukan Sea, Para Asean 2017

By 17 Ogos 2017Ogos 18th, 2017Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Laporan dan Foto oleh: Nor Aznaliza Mohd Asri & Khairul Shahrizal Ismail (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Malaysiaaktif) – Bank Negara Malaysia hari ini mengeluarkan duit syiling peringatan sempena Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan, pengeluaran Edisi Khas Duit Syiling ini merupakan tanda sokongan bagi menambahkan semangat kesukanan atlet Malaysia.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pelancaran Duit Syiling Peringatan sempena Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9, di sini hari ini.

“Terdapat dua spesifikasi duit syiling peringatan yang dikeluarkan iaitu Syiling Peringatan Perak Berwarna (pruf) di mana ia diperbuat daripada logam perak dengan ketulenan 99.9 dan berat setiap keping ialah 31.10 gram.

“Nilai muka duit syiling ini adalah RM10 dan harga jualannya RM230 sekeping. Sebanyak 700 keping sahaja ditempa.

“Spesifikasi seterusnya adalah Syiling Peringatan Emas Nordic. Nilai muka duit syiling emas nordic ini ialah RM1 dan harga jualannya RM10 sekeping. Sebanyak 13,000 keping sahaja ditempa,” katanya.

Duit Syiling Peringatan bersempena dengan Sukan SEA Ke-29 dan Sukan Para ASEAN Ke-9.

Duit Syiling Peringatan bersempena dengan Sukan SEA Ke-29 dan Sukan Para ASEAN Ke-9.

Jelas M. Saravanan, kesemua duit syiling ini boleh didapati dalam set dua dalam satu.

“Set ini mengandungi duit syiling pruf perak berwarna dan pruf emas Nordic dan set ini akan dijual pada harga RM280 setiap set dan hanya 1,300 set sahaja disediakan,” katanya lagi.

Tambahnya, reka bentuk bahagian hadapan duit syiling ialah maskot rasmi bernama RIMAU, diilhamkan daripada Harimau Malaya yang terkenal dengan sifat gagah perkasa dan tangkas.

“Perkataan ‘BANGKIT BERSAMA’ iaitu tema temasya sukan ini melambangkan ketibaan era untuk negara-negara Asia Tenggara bersatu sebagai sebuah komuniti,” katanya.

Bahagian belakang duit syiling direka dengan perkataan ‘BANK NEGARA MALAYSIA’ sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan ini pada bahagian atas, manakala nilai muka tertera pada bahagian bawah duit syiling.

Bahagian tengah duit syiling pula memaparkan Wau Bulan selaku logo rasmi temasya sukan ini dan jalur warna-warni mewakili panji-panji semua negara peserta Asia Tenggara.

 Penyerahan Duit Syiling Peringatan Bersempena Sukan SEA Ke-29 dan Sukan Para ASEAN Ke-9 oleh Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Adnan Zaylani Mohamad Zahid kepada Datuk M. Saravanan.

Penyerahan Duit Syiling Peringatan Bersempena Sukan SEA Ke-29 dan Sukan Para ASEAN Ke-9 oleh Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Adnan Zaylani Mohamad Zahid kepada Datuk M. Saravanan.

Contoh duit syiling ini akan dipamerkan kepada orang ramai mulai 21 Ogos 2017 di Pejabat Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching serta Kuala Terengganu, dan jualan duit syiling ini akan bermula pada 29 Ogos 2017.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif, Jawatankuasa Penganjur Malaysia (MASOC), Datuk Seri Zulkples Embong; Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Abu Bakar Ab. Rahim dan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Haslina Abdul Hamid.

 

– AH

Tinggalkan komen anda