Skip to main content
Berita TempatanSabah

Jatuh Cinta Terhadap Perpaduan Kaum Di Sabah

By 29 Ogos 2017September 5th, 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan: Mohamad Mahathir Abdul Halif / Foto: PEBEKA (Sabah)

KENINGAU, 29 Ogos (Malaysiaaktif) – Perpaduan kaum di Sabah yang tepat menggambarkan konsep 1Malaysia membuka mata Presiden Majlis Perwakilan Pelajar, Putri Amirah Darul Amin, 20.

Putri yang berasal dari Selangor, penuntut tahun akhir Diploma TESL berkata dia jatuh cinta dengan Sabah sejak tahun pertama menuntut di negeri ini.

“Kepelbagaian budaya dan suku kaum yang mampu hidup harmoni seiringan tanpa ada perselisihan perasaan membuatkan saya kagum dan bersetuju bahawa Sabah yang terbaik bagi menggambarkan semangat 1Malaysia yang terpupuk dalam kalangan masyarakat negeri ini.

Lady Vanniesshia Tony

Lady Vanniesshia Tony

Tambahnya, dia bersedia berkhidmat di Sabah satu hari kelak dan berkemungkinan akan berhijrah ke Negeri di Bawah Bayu ini.

“Pelbagai pengalaman menyeronokkan saya lalui di negeri ini, terutama pengalaman makan makanan tradisi iaitu “tuhau” dan memori ini saya tidak akan lupa sampai bila-bila”.

Putri Amirah berkata demikian semasa ditemui selepas Majlis Penutupan pelaksanaan program ‘Anak Angkat’ Persatuan Belia Kota Ayangan (PEBEKA) dengan kerjasama Kolej Poly Tech Mara (KPTM), daerah Semporna di Kampung Kota Ayangan pada Isnin.

Sementara itu, penuntut tahun akhir diploma pelancongan, Lady Vanniesshia Tony, 20, berkata tinggal bersama keluarga angkat beragama Islam merupakan pengalaman yang cukup indah.

“Mulanya rasa bimbang juga sebab saya tidak biasa tinggal bersama sebuah keluarga angkat lebih-lebih lagi yang beragama Islam tetapi kehadiran saya amat diterima baik dan saya dilayan seperti anak mereka sendiri.

“Keadaan ini menyebabkan sangkaan saya tidak tepat sama sekali, malah saya merasa gembira serta dapat bermesra bersama sambil bertukar-tukar maklumat tentang budaya, gaya hidup dan adat resam.

“Jelas perbezaan agama dan budaya di negeri ini langsung tidak membataskan perhubungan erat sebagai rakyat Malaysia”, ujarnya.

Dalam pada itu, peserta, Awang Amirul Rizman Abdullah, 19, pelajar tahun akhir diploma Pengurusan Sumber Manusia berasal dari Wilayah Persekutuan Labuan turut meluahkan rasa bersyukur kerana terpilih dalam Program Anak angkat ini.

”Aktiviti sepanjang kami berada di sini sungguh padat dan keluarga yang mesra membuatkan kami lupa bahawa kami hanya datang berkunjung ke sini.

Penyerahan pelajar bersama keluarga angkat pada majlis tersebut.

Penyerahan pelajar bersama keluarga angkat pada majlis tersebut.

Tambahnya, lawatan selama dua hari semalam ini amat singkat dan dia baru ingin merasa gembira tetapi masa kembali memisahkan. Saya pasti akan berkunjung kembali ke Kota Ayangan ini satu hari nanti.

Bagi keluarga angkat, Saleha Tassim, 62, ibu angkat pelajar terbabit berkata kesemua pelajar yang menyertai program ini bersopan-santun.

“Kami amat senang dengan tingkah laku dan sikap mereka hingga saya merasa seperti anak-anak kami sendiri.

Ujarnya lagi, program sebegini memang baik dan perlu lebih kerap kerana bukan kerana mereka tidak sayang pada anak kandung tetapi apabila ada program anak angkat sebegini kami juga turut belajar dan mengenal pelbagai budaya dan perkembangan terbaharu daripada pemikiran anak muda hari ini.

“Saya berharap penganjur dapat mempertimbangkan suatu tempoh masa yang panjang agar kemesraan dan ikatan keluarga angkat tersebut benar-benar terjalin, paling kurang pun untuk tempoh tiga hari dua malam tapi kalau dapat lebih lebih baik”, ujarnya tersenyum.

Bagi Penolong Pengarah, Hal Ehwal Pelajar Kolej Poly Tech Mara, Mohd. Hamsah Salleh Ajih, yang ditemui berkata program seumpama ini diadakan untuk mendidik para pelajar tentang pembangunan sahsiah dan mempelajari kepelbagaian budaya di daerah lain.

“Kota Ayangan dipilih atas saranan alumni kolej dan atas kapasiti kemampuan pihak PEBEKA yang telah melaksanakan pelbagai program peringkat negeri mahupun peringkat daerah.

Jelasnya, seramai 33 pelajar dari Sabah dan Semenanjung Malaysia yang terdiri daripada jurusan TESL (Teaching English as a Second Language), sumber manusia, pelancongan, pengurusan akaun dan pengurusan perniagaan terlibat dalam program ini selama dua hari semalam di sini.

Manakala, Pengerusi PEBEKA merangkap Pengerusi Bersama Program Anak Angkat, Mohd.Sidik Musa, 35, berkata seramai 10 buah keluarga yang terlibat dalam pelaksanaan program anak angkat ini.

“Pada program ini setiap peserta akan bermalam di rumah keluarga angkat masing-masing selama tempoh berkenaan dan kami berharap para peserta dapat mempelajari keunikan kehidupan di kampung ini.

“Kami sebenarnya menerima baik program sebegini serta mengalu-alukan pelbagai pihak sama ada daripada kerajaan negeri mahupun persekutuan atau swasta untuk berkolaborasi menjayakan apa-apa program sebegini di kampung ini.

“Fasiliti Taman Rekreasi Seri Cempaka kami dan kekuatan anggota di sini pasti mampu memenuhi kehendak yang diperlukan oleh mana-mana pihak,” tambahnya.

SF

Tinggalkan komen anda