Skip to main content
Berita TempatanHomePerakPutrajayaViralWilayah Persekutuan

Kembara Merdeka Negaraku 2017 Semarakkan Semangat Patriotisme

By 18 Ogos 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan oleh: Aimi Huwaina / Foto: Irwan Shah (Putrajaya)

JELI, 18 Ogos (Malaysiaaktif) – Pelancaran Kembara Merdeka Negaraku (KMN) 2017 peringkat negeri Kelantan pada hari keenam di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Jeli, di sini hari ini menyemarakkan lagi semangat patriotisme dan mengibar Jalur Gemilang dalam kalangan masyarakat setempat.

Menurut pensyarah Universiti Malaysia Kelantan Cawangan Jeli, Professor Madya Dr Lukman Ismail, sambutan yang ditunjukkan oleh masyarakat adalah dengan penuh semangat sekali.

“Terutamanya hari ini kita ada konvoi sempena Sambutan Hari Kebangsaan. Ini adalah sangat baik kerana ia memberi satu syiar kepada masyarakat sekitar dan masyarakat seluruh negara berkenaan dengan semangat kemerdekaan,” katanya.

Professor Madya Dr Lukman Ismail hadir ke Majlis Pelancaran Kembara Merdeka Negaraku 2017 untuk memberi sokongan kepada anaknya yang membuat persembahan, di samping menyokong sambutan kemerdekaan.

Professor Madya Dr Lukman Ismail hadir ke Majlis Pelancaran Kembara Merdeka Negaraku 2017 peringkat negeri Kelantan untuk memberi sokongan kepada anaknya yang membuat persembahan, di samping menyokong sambutan kemerdekaan.

Lukman berharap agar golongan belia dan remaja lebih memahami tentang semangat kemerdekaan dan usaha untuk menjadi masyarakat yang lebih signifikan dalam membangunkan negara.

“Sekarang ini kita akan memasuki satu fasa yang dipanggil revolusi industri keempat yang memerlukan orang-orang muda berkecimpung lebih banyak dalam bidang sains dan teknologi.

“Jadi kita haraplah bawakan semangat merdeka ini untuk meningkatkan lagi anak muda yang terlibat dalam bidang sains dan teknologi,” katanya lagi.

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Sains Jeli, Nur Yasmin Nadia Muhammad, 16, berkata pemahaman merdeka adalah penting untuk generasi baru supaya mereka mengenang jasa pejuang-pejuang negara yang lama.

“Perpaduan dalam sesebuah negara ini adalah sangat penting kerana andainya masyarakat tidak bersatu padu, maka takkan lahirlah negara yang aman dan damai. Jadi sebab itulah kita sebagai rakyat malaysia perlu mementingkan perpaduan,” kata Yasmin yang berasal dari Selangor.

Pelajar Sekolah Sains Jeli, Nur Yasmin Nadia Muhammad.

Pelajar Sekolah Menengah Sains Jeli, Nur Yasmin Nadia Muhammad.

Tambah Yasmin, dia berharap agar lebih banyak aktiviti yang dianjurkan untuk memperingati Hari Kemerdekaan.

“Sambutan pada tahun ini agak meriah dengan adanya konvoi yang menjelajah satu negara. Sambutan daripada pelajar pun agak memberangsangkan, sebagai pelajar kami pun memberi komitmen untuk menyambut Hari Kemerdekaan.

“Kami menunjukkan semangat patriotik itu dengan menyanyikan lagi-lagu patriotik pada bulan kemerdekaan, melakukan aktiviti-aktiviti yang akan mengingatkan kita kepada pejuang-pejuang negara,” katanya lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Bunga, Datuk Mohd Adhan Kechik merasmikan Majlis Pelancaran Kembara Merdeka Negaraku 2017.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Bunga, Datuk Mohd Adhan Kechik merasmikan Majlis Pelancaran Kembara Merdeka Negaraku 2017 peringkat negeri Kelantan.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Bunga, Datuk Mohd Adhan Kechik berkata Malaysia berada di landasan yang baik dalam kemampuan mensejahterakan rakyat.

“Negara kita sudah mencapai 60 tahun kemerdekaan. Walau kita baru merdeka berbanding negara-negara lain di sekitar negara kita ini, kita boleh lihat hasil daripada perpaduan, kerjasama dan kepintaran pemimpin-pemimpin negara kita, pada hari ini kita boleh katakan berbanding dengan negara-negara lain, negara kita jauh lebih baik daripada negara-negara berkenaan,” katanya.

 

Persembahan orkestra oleh Jazz Wings Orchestra.

Persembahan orkestra oleh Jess Wind Orchestra.

Ketibaan KMN 2017 di Jeli pada hari keenam disambut dengan persembahan orkestra daripada Sekolah Sains Jeli dan silat.

Antara objektif utama KMN 2017 ini adalah untuk meningkatkan semangat cintakan negara serta menggalakkan pengibaran Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan.

Tinggalkan komen anda