Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

Prasarana Rakan Rasmi Penyedia Pengangkutan Awam KL2017

By 15 Ogos 2017Ogos 16th, 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto oleh: Parameswary Lekshmnan & Norlydiana Ishak (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (MalaysiaAktif) – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin hari ini melancarkan Panduan Perjalanan Rapid KL sempena temasya Sukan Sea 2017 (KL2017), di sini.

Panduan Perjalanan Rapid KL ini mengandungi maklumat rangkaian pengangkutan awam untuk lokasi-lokasi pertandingan KL2017 yang boleh didapati di aplikasi telefon KL2017, laman sesawang KL2017 dan juga di laman sesawang Rapid KL.

“Cara paling mudah untuk sampai ke destinasi-destinasi KL2017 adalah dengan menggunakan pengangkutan awam terutamanya, LRT dan Monorail,” kata Khairy.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) tampil sebagai Rakan Rasmi Penyedia Pengangkutan Awam (Official Public Transport Service Provider) KL2017 dan juga penaja Platinum bagi KL2017.

Penajaan Prasarana ini merangkumi wang tunai, barangan dan perkhidmatan serta beberapa program pengaktifan jenama sebagai sokongan pemasaran KL2017.

Perkhidmatan pengangkutan awam percuma akan diberikan kepada semua sukarelawan dan rakan media yang mempunyai akreditasi yang sah sepanjang KL2017 berlangsung.

Tambah Khairy, bagi mengelakkan kesesakan seperti yang berlaku di Stadium Shah Alam, semalam, kaunter tiket, laluan masuk dan tenaga kerja sukarelawan serta polis bantuan akan ditambah, selain membuka pembelian tiket enam jam sebelum pertandingan bermula.

“Orang ramai digalakkan supaya datang awal ke lokasi-lokasi pertandingan bagi mengelakkan kesesakan,” katanya lagi.

Prasarana juga akan memanjangkan masa perkhidmatan LRT, MRT dan Monorail sepanjang KL2017 untuk memudahkan pergerakan orang ramai ke lokasi pertandingan.

Khairy Jamaluddin (dua dari kiri), Azmi Abdul Aziz (dua dari kanan) serta pegawai-pegawai Prasarana.

Khairy Jamaluddin (dua dari kiri), Azmi Abdul Aziz (dua dari kanan) serta pegawai-pegawai Prasarana.

Sementara itu, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Datuk Sri Azmi Abdul Aziz memberitahu bahawa Prasarana akan menyusun kembali jadual dan kekerapan tren bagi melancarkan perjalanan pulang para pengguna.

Pada majlis yang sama, Khairy turut merasmikan Stesen LRT Bukit Jalil yang bertemakan ‘KL2017’.

Menurut Khairy, “hiasan-hiasan dan kata-kata semangat yang terdapat di Stesen LRT Bukit Jalil ini dapat meningkatkan semangat kesukanan para pengunjung serta atlet-atlet selain memberi inspirasi”.

– AH

Tinggalkan komen anda