Skip to main content
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Laporan & Foto oleh : Herman Hamid & Mohd Izzideen Khairi Zakaria (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR 15 Ogos (Malaysiaaktif) – “‘Volunteer Smartphone Patrol’ (VSP) adalah sistem aplikasi yang dibangunkan bagi orang ramai bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mencegah jenayah.”

Ketua Penolong Pengarah Pendataan/Analisa Bukit Aman, SAC Datuk Sun Teoh Tia berkata demikian pada sesi sidang media ‘Go To Safety Point (GTSP) dan VSP’, di sini hari ini.

“VSP telah diperkenalkan pada Mei 2016 semasa persidangan Strategi Lautan Biru (NBOS) bagi menggalakkan pengguna telefon pintar menyalurkan maklumat kepada PDRM dan ianya merupakan projek peluasan Program Rakan Cop ataupun penjenamaan semula.

“Seterusnya ia dilancarkan pada 25 Mac 2017 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak,” tambahnya.

Menurut Penolong Pengarah Pendataan, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, ACP Norhalid Kimi, masyarakat perlu memuat turun aplikasi mudah alih Kerajaan Malaysia (GAMMA) secara percuma melalui telefon mudah alih bagi menggunakan aplikasi VSP ini.

Tambahnya, pengguna perlu mendaftar sebagai ahli VSP dalam aplikasi tersebut, namun Ahli Rakan Cop akan menjadi ahli VSP secara serta merta.

“Konsep VSP adalah untuk menjadikan pengguna telefon pintar sebagai mata dan telinga PDRM dalam mencegah jenayah dengan menyalurkan maklumat seperti jenayah, trafik, bencana alam, kesalahan dadah dan maklumat urusan balik kampung melalui telefon pintar.

“Sepanjang tempoh pelancaran sehingga 11 Ogos 2017, seramai 81,047 ahli VSP telah berdaftar dan jumlah Rakan Cop sedia ada seramai 608,440. Ianya menjadikan jumlah Ahli VSP sebanyak 689,487 orang, manakala jumlah aduan yang diterima melalui VSP adalah sebanyak 8554,” jelasnya.

Tambah Norhalid, GTSP adalah satu inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang telah dilancarkan pada Mac 2013 untuk mewujudkan satu platform bagi orang awam mendapatkan bantuan sewaktu kecemasan.

“Bermula dari tahun 2013, semua 560 stesen minyak Petron telah menjadi rakan GTSP diikuti Shell 960 stesen, BHP 11 stesen dan Petronas 1,065 stesen. Manakala bagi Caltex pula mereka telah bersetuju untuk menjadi rakan kolaborasi bermula tahun ini,” jelas Norhalid lagi.

PDRM berharap agar masyarakat menyokong dan melibatkan diri dalam inisiatif ini dengan menjadi ahli dan menyalurkan maklumat yang sesuai agar masyarakat dan polis dapat mencegah jenayah bersama.

– AH

Tinggalkan komen anda