Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerakPutrajayaWilayah Persekutuan

Apa Sumbangan Kita kepada Negara?

By 23 Ogos 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan oleh: Diyana Zamri / Foto: Irwan Shah (Putrajaya)

HULU KINTA, 23 Ogos (Malaysiaaktif) – ‘Jangan tanya apa yang negara lakukan untuk anda, tanya apa yang anda lakukan untuk negara.’

Memetik kata-kata oleh bekas Presiden Amerika Syarikat, John F. Kennedy, ADUN Hulu Kinta, Datuk Aminuddin Md. Hanafiah menyeru rakyat Malaysia, terutamanya para pelajar di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu (KSKB) Sultan Azlan Shah, di sini, untuk menyoal apakah sumbangan diri sendiri kepada negara, petang tadi.

“Zaman ini dah lain. Semua benda kita tanya kenapa kita tidak dapat apa-apa, dah bagi kenapa tak cukup, kenapa orang itu lebih, kita tetap bertanya dan terus bertanya apa lagi negara nak bagi kepada kita.

ADUN Hulu Kinta, Datuk Aminuddin Md. Hanafiah berdiri berlatarbelakangkan Bendera Besar Jalur Gemilang yang dibuat oleh Jabatan Farmasi KSKB, dan pernah dibawa ke 'base camp' Gunung Himalaya.

ADUN Hulu Kinta, Datuk Aminuddin Md. Hanafiah berdiri berlatarbelakangkan Bendera Besar Jalur Gemilang yang dibuat oleh Jabatan Farmasi KSKB, dan pernah dibawa ke ‘base camp’ Gunung Himalaya.

“Tapi kita jarang sekali bertanya kepada diri sendiri, apa yang kita boleh sumbang kepada negara yang telah banyak bagi kepada kita.

“Adalah wajar bagi kita semua rakyat Malaysia menanamkan semangat jati diri yang tinggi dan mengatakan bahawa inilah negaraku yang tercinta,” ujarnya penuh semangat.

IMG_4500

Tambahnya lagi, sambutan hari kebangsaan dengan tema Negaraku Sehati Sejiwa ini adalah satu tema yang amat cantik untuk diabadikan dalam hati kita sebagai rakyat Malaysia.

Aminuddin ditemui ketika merasmikan program Negaraku@Komuniti Peringkat Daerah Kinta sempena Kembara Merdeka Negaraku (KMN) Peringkat Negeri Perak 2017.

Nur Syafiqah (kiri) bersama rakan sejurusannya yang berasal dari Kuching, Sarawak, Lydiana Tnay Li Ling, 23.

Nur Shafiqah (kiri) bersama rakan sejurusannya yang berasal dari Kuching, Sarawak, Lydiana Tnay Li Ling, 23.

Menurut seorang pelajar Diploma Farmasi di sini, Siti Nur Shafiqah Zainudin, 21, bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme dan jati diri anak-anak muda, pendedahan kepada nilai sejarah perlu ditingkatkan lagi.

“Sejarah bermulanya Tanah Melayu sampailah kemerdekaan 31 Ogos 1957 dan seterusnya membentuk negara Malaysia ini perlu diterapkan lagi kepada pelajar-pelajar. Pengorbanan tokoh-tokoh dan pejuang-pejuang yang telah berusaha mendapatkan kemerdekaan perlu diingati,” tegasnya.

Tambah Nur Shafiqah yang merupakan anak jati Perak, untuk sambutan kemerdekaan tahun ini, dia dan rakan-rakannya akan menghias kolej dengan bendera dan menyambut kemerdekaan bersama-sama.

Muhammad Nor Hafiz (tiga dari kiri) bersama-sama rakan seperjuangan di KSKB.

Muhammad Nor Hafiz (tiga dari kiri) bersama-sama rakan seperjuangan di KSKB.

Selain itu, seorang pelajar Diploma Penolong Pegawai Perubatan, Muhammad Nor Hafiz Nordin, 24, berkata sebagai golongan muda, dia dan rakan-rakan amat sayang kepada negara.

Jelasnya, bagi menzahirkan rasa cinta dan semangatnya itu, kebiasaannya dia akan menyambut hari kemerdekaan di Dataran Merdeka.

“Tetapi pada kali ini, saya akan menyambutnya dengan 87 rakan-rakan yang lain di sini membuat pelbagai aktiviti termasuklah menyanyikan lagu-lagu patriotik,” ujarnya yang berasal dari Kelantan dan pernah belajar di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Antara pameran oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta di KSKB.

Antara pameran oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta di KSKB.

Pada majlis tersebut, turut diadakan pameran oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan Daerah Kinta, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak, Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan (BKF).

Konvoi KMN 2017 yang kini sudah memasuki hari kesebelas ini melibatkan 107 orang peserta dengan 17 buah kenderaan dan 30 buah motosikal berkuasa besar pelbagai jabatan dan agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan.

Ketua Konvoi KMN 2017, Ariah Judah (kiri) bersama ADUN Bukit Chandan, Maslin Sham Razman (kanan) di sambutan konvoi KMN di Sayong Lembah, Kuala Kangsar.

Ketua Konvoi KMN 2017, Ariah Judah (kiri) bersama ADUN Bukit Chandan, Maslin Sham Razman (kanan) di sambutan konvoi KMN di Sayong Lembah, Kuala Kangsar.

Diketuai oleh Ariah Judah, konvoi yang telah menjelajah 29 dari 50 lokasi terpilih seluruh negara ini bakal berakhir di Taman Maluri, Kuala Lumpur pada 28 Ogos ini.

Terdahulu, konvoi KMN 2017 singgah di lokasi ke-28 di Sayong Lembah, Kuala Kangsar, Perak yang dirasmikan oleh ADUN Bukit Chandan, Maslin Sham Razman.

Tinggalkan komen anda