
Laporan & foto: Siti Mariam Aziz Rashid (Sabah)
KOTA KINABALU, 8 Sep (Malaysiaaktif) – Seramai 500 pelajar bersama kakitangan Politeknik Kota Kinabalu (PKK) terus ceria dan menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan seiring sambutan Hari Malaysia menerusi program amal bertemakan ‘Food Bank’ Sehati Sejiwa di pusat pengajian tersebut pada Rabu.
Mendapat inspirasi daripada program ‘Food Bank’ yang dilaksanakan di negara Barat, konsep ‘membantu yang memerlukan’ ini telah mula diaplikasikan di beberapa institut pendidikan tinggi di Malaysia termasuk PKK dengan pelaksanaan berbeza mengikut acuan institusi masing-masing.
Pengarah PKK, Zainab Othman berkata beliau menyambut baik program Food Bank ini kerana bertujuan membantu pelajar terutama dari segi bantuan makanan.
“Di PKK, kebajikan para pelajar ialah keutamaan kami.
“Pihak PKK mungkin tidak dapat membantu dari segi kewangan, namun program ini merupakan inisiatif yang baik untuk membantu meringankan beban perbelanjaan bagi para pelajar,’ katanya.
Zainab seterusnya berharap agar para pelajar tidak merasa rendah diri dan mengambil inisiatif ini untuk memastikan mereka sentiasa berada dalam keadaan sihat agar dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran mereka.
Zainab berkata demikian semasa menyempurnakan majlis penyerahan makanan kepada para peserta yang hadir ke program tersebut.
Program inisiatif Unit Kebajikan PKK dengan kerjasama EXCO Kebajikan, Majlis Perwakilan Pelajar PKK ini, mengutamakan para pelajar yang memerlukan dan mempunyai latar belakang keluarga yang tidak berkemampuan dari segi kewangan.
Bagi pelajar program Perdagangan, Mohd. Hafiz Ag. Said, 19, berkata program Food Bank ini banyak membantu meringankan beban para pelajar yang kurang berkemampuan dari segi kewangan
“Saya amat bersyukur dengan adanya program seperti ini. Tidak semua pelajar mempunyai latar belakang keluarga yang senang.
“Isu pelajar yang menghadapi masalah kewangan memang wujud sehingga ada yang perlu mengikat perut kerana tidak mampu untuk membeli makanan.
“Ramai juga yang berdiam diri kerana malu dan tidak mahu dikenal pasti sebagai pelajar yang memerlukan, tetapi bagi saya dengan adanya program seperti Food Bank ini, kuranglah sedikit beban kami’, ujar Hafiz lagi.
Sementara itu, bagi Ketua Unit Kebajikan (PKK) yang juga Pengarah Program, Mohd. Hanis Mohd. Nor menjelaskan sebanyak 200 pek makanan basah dalam bentuk hidangan Nasi Ayam disediakan pada program sehari tersebut.
Tambahnya, bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat PKK, kami menyediakan juga 500 bendera Malaysia yang diagihkan kepada para peserta program untuk menyemarakkan lagi sambutan bulan kebangsaan peringkat PKK.
“Makanan-makanan kering juga disediakan hasil sumbangan daripada para pensyarah dan kakitangan PKK.
“Antara makanan kering yang ada seperti roti, biskut dan sebagainya yang disediakan di rak kebajikan dan ditempatkan berhampiran dengan pejabat Hal Ehwal Pelajar, para pelajar boleh mengambilnya pada bila-bila masa.
“Program ini bukan sahaja dapat menyediakan saluran bantuan makanan percuma kepada pelajar yang memerlukan, bahkan sebagI platform bagi kakitangan dan pelajar untuk mengamalkan budaya menderma, prihatin serta mengelakkan pembaziran,” jelasnya.
–SF