
Laporan/Foto: Robani Nabi Ahmad / Khsirunnisa Ismail
KOTA BHARU,14 Sept, (Malaysiaaktif) – Bukan hanya memupuk nilai semangat patriotik, namun Kelab 1Malaysia (K1M) di 13 buah sekolah di daerah ini dijangka mampu mencetus perubahan dalam pemikiran anak-anak muda supaya menghargai negara Malaysia.
Pegawai Penerangan Daerah Kota Bharu, Mohd Zamzuri Salleh berkata, K1M mempunyai keistimewaan sendiri dan memberi pelbagai pendedahan kepada ahli-ahlinya, terutama dalam mempertingkatkan semangat kenegaraan melalui penganjuran program.
Menurut seorang ahli K1M, Suriani Sidek, 17, kelab tersebut memberi peluang kepadanya untuk menghargai negara melalui pelbagai pendekatan.
Dia bersyukur sejak idea K1M dicetuskan di sekolah-sekolah, terutama di Kota Baharu, semakin nampak kesan positif dalam usaha memupuk pembangunan insan patriotik yang sayang tanah air.
Pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji, Mohd Shukri Abdullah yang mewakili Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) juga bersetuju K1M mampu mendidik anak-anak bangsa lebih menyayangi negara melalui program-program yang telah dilaksanakan, antaranya mengenai Sistem Demokrasi Perlembagaan Negara dan Wacana Merdeka.
Mohd Shukri berkata, “semangat patriotik perlu terus ditanam dalam diri pelajar, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dalam usaha mendidik anak-anak muda zaman sekarang,.
“Saya juga berharap sekolah-sekolah di Kota Baharu ini, khususnya, mengambil inisiatif untuk terus membawa keunikan dalam cara sambutan kemerdekaan di sekolah masing-masing.