Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Sekolah Daif dan Kurang Murid Antara Fokus Utama Negara

By 14 September 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Mohd Baharruddin Mohamad / Jaed Tipus (Sarawak)

SIBU, 14 Sept (Malaysiaaktif) – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggesa agar isu sekolah daif dan sekolah kurang murid di Sarawak diberikan keutamaan dan diselesaikan segera.

Melalui Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), sebanyak 30 buah projek pembangunan sekolah telah diluluskan untuk dilaksanakan di negeri Sarawak.

Ahmad Zahid (kanan) sempena lawatan kerja ke Sekolah Menengah Kebangsaan Rosli Dhoby, dan Sekolah Kebangsaan Ulu Sg. Salim.

Ahmad Zahid (kanan) sempena lawatan kerja ke Sekolah Menengah Kebangsaan Rosli Dhoby, dan Sekolah Kebangsaan Ulu Sg. Salim.

Menurut Zahid, sepanjang tahun 2016 dan 2017, 50 buah sekolah daif telah dan sedang dibina oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kos RM153.3 juta.

“Pada masa yang sama sebanyak 183 buah sekolah telah diluluskan di dalam Rolling Plan ke-2 di dalam RMK-11 untuk dilaksanakan melalui kaedah Industrialised Building System (IBS) dengan peruntukan sejumlah RM366 juta.

“Daripada 50 buah sekolah tersebut, 23 buah telah siap dibina manakala 27 buah sekolah lagi sedang dalam pembinaan termasuk 4 buah sekolah yang dibina oleh Jabatan Jerha Raya (JKR),” katanya semasa sidang media lawatan kerja ke Sekolah Menengah Kebangsaan Rosli Dhoby, dan Sekolah Kebangsaan Ulu Sg. Salim, disini siang tadi.

Ahmad Zahid ketika meninjau keadaan sekolah.

Ahmad Zahid ketika meninjau keadaan sekolah.

Beliau memberitahu, pihak kerajaan negeri telah menjadikan pembangunan sekolah daif sebagai keutamaan dan fokus termasuk mengadakan pembentangan bagi membincangkan isu tersebut dalam mesyuarat kabinet negeri.

Isu-isu kemudahan utiliti seperti bekalan air dan bekalan elektrik awam turut dibincangkan.

“Masih terdapat 447 buah sekolah belum memiliki bekalan air awam, di samping 375 buah sekolah masih belum menikmati bekalan elektrik diseluruh negeri Sarawak.

“Kerajaan persekutuan akan terus memberi komitmen yang tinggi untuk membangunkan semula sekolah daif di Sarawak sebagai satu agenda utama negara,” jelasnya lagi.

Jumlah keseluruhan sekolah di Sarawak adalah sebanyak 1454 buah di mana 1020 merupakan sekolah daif.

Zahid turut mengarahkan agar kes sekolah kurang murid ditangani segera.

“Terdapat 651 buah sekolah kurang murid di seluruh negeri Sarawak ketika ini dimana Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak telah mengenalpasti sebanyak 356 buah sekolah yang sesuai untuk digabungkan mengikut fasa tersendiri bagi digabungkan di 126 buah pusat penggabungan,” jelasnya lagi.

-SH

Tinggalkan komen anda