Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Impian Anak Leukemia Jadi Ahli Bomba Bomba Dipenuhi

By 14 September 2017Tiada komen4 minit bacaan
Laporan oleh Fauzrina Bulka / Foto: Abdullah Sani Ariff Lokman (Sabah)

KOTA KINABALU, 14 Sep (Malaysiaaktif) – Runtun hati melihat air mata kesyukuran si ibu ketika permintaan anaknya yang menghidap leukemia memakai seragam bomba dipenuhi.

Penghidap Precursor B Cell Acute Lymphoblastic Leukemia, Mohammad Faisul Iman Yakub, 13 tersenyum lebar dan detik kegembiraannya mampu menyembunyikan sebak di hati mereka yang hadir menyaksikan impiannya dipenuhi.

IMG_8458-1024x742

“Sudah seminggu Faisul tidak lena tidur kerana tidak sabar mahu berjumpa dengan ahli-ahli bomba hari ini, pagi tadi pun dia bersiap awal kerana sangat teruja,”ujar kakaknya, Farah Liyanna Yakub.

Menurut Farah, adiknya yang juga anak keempat daripada lima beradik didiagnos menghidap leukimia seawal usia enam tahun apabila perutnya kelihatan membesar dan dia mengadu kesakitan.

“Kami segera membawanya membuat pemeriksaan dan bila doktor mengesahkan penyakitnya, memang kami terperanjat kerana dalam susur-galur keluarga memang tiada siapa yang pernah menghidap penyakit itu.

Farah yang bekerja di Selangor sebelum ini kembali ke Sabah sebulan lalu untuk membantu menjaga adiknya, di samping bersedia untuk menjalani pemindahan sel stem selepas Faisul menjalani kemoterapi ketiga dan yang paling kuat.

Pemindahan sel stemt ialah prosedur memasukkan sel stem yang sihat ke dalam badan untuk menggantikan sel stem yang rosak atau berpenyakit dan dilakukan dalam rawatan penyakit berkaitan darah seperti leukemia.

Faisul (berkerusi roda) bersama anggota bomba dan kakitangan hospital.

Faisul (berkerusi roda) bersama anggota bomba dan kakitangan hospital.

“Hampir tujuh tahun kami berulang ke hospital untuk mendapatkan rawatan untuknya. Bermula 2015, sudah tiga kali Faisul menjalani kemoterapi dan yang terakhir itu juga tidak mampu untuk membunuh sel leukimia di tubuhnya,” jelas Farah.

Kini, pihak hospital terpaksa menghentikan rawatan kemoterapi terhadap Faisul dan dia hanya dibekalkan ubat-ubatan serta morfin bagi membantu tubuhnya melawan kesakitan.

Farah mengakui keadaan itu banyak mengganggu zaman kanak-kanaknya Faisul hingga menjejaskan pelajarannya sehingga dia memperoleh keputusan yang menghampakan dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Sudah tentu dia sedih sebab tidak mampu memperoleh keputusan yang baik, malahan tidak mampu aktif bermain dan bersukan seperti kawan-kawan seusia.

“Sedangkan sejak kecil dan belajar di prasekolah, cikgu-cikgu selalu memuji bahawa Faisul seorang yang bijak dan cepat menangkap pelajaran,” katanya ketika ditemui di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas pada pagi Rabu.

Jelas Farah juga, ketika usia Faisul enam tahun, adiknya berupaya menghafal banyak surah Al-Qurab yang pendek, tetapi ingatannya agak terjejas selepas menjalani sesi kemoterapi.

Program tersebut dijalankan dengan kerjasama Children Wish Society (CWS) Malaysia serta pasukan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah dalam memberi ruang bagi Faisul merasai pengalaman sebagai ahli bomba.

CWS Society yang berpangkalan di Selangor telah 10 tahun beroperasi dan berperanan bagi memenuhi impian pesakit. Hingga kini lebih 100 pesakit telah dikendalikan di Sabah dan 700 orang seluruh Malaysia.

“Memang sejak kecil Faisul berminat menjadi ahli bomba, sebab bomba bukan setakat memadam api, tapi boleh bantu haiwan dan orang lain ketika diperlukan, sebab Faisul sendiri memang ringan tulang,”ujar Farah.

Tambahnya, keadaan adiknya itu agak lemah kerana kurang selera makan, dan pipinya agak bengkak akibat ulser, malahan perlu dipujuk setiap kali makan ubat mengikut jadualnya empat kali sehari.

“Mujur doktor membenarkan dia untuk keluar pagi ini dengan keadaan sebegitu, dan memandangkan dia mahu berjumpa ahli-ahli bomba, mahu tidak mahu dia telan juga ubatnya pagi ini,”kata Farah.

Selain mengenakan pakaian seragam bomba, Faisul juga dibawa menaiki jentera penyelamat kebakaran (FRT) dan berpeluang mengendalikan nozel pacutan memadam api, selain mengadakan kejutan sambutan hari lahir untuknya.

Felicia berharap lebih ramai akan tampil dan melibatkan diri membantu memenuhi impian pesakit.

Felicia berharap lebih ramai akan tampil dan melibatkan diri membantu memenuhi impian pesakit.

Sementara itu, Ketua Jururawat Unit Paliatif, Felecia Lijawa berkata Faisul perlu mengambil ubat yang banyak setiap hari hingga berasa muak.

“Dia juga kurang selera makan hingga kami perlu masukkan air padanya agar badannya tidak kekurangan air dan ulser di dalam mulutnya juga semakin sembuh,” katanya.

Felicia turut merasa terharu dengan kesudian agensi kerajaan, pelbagai NGO, pihak gereja serta sukarelawan tampil ke hadapan untuk membantu memenuhi impian kanak-kanak yang sedang menerima rawatan di sini.

“Dari segi psikologi, jika seseorang itu gembira akan bantu memulihkan sendiri penyakitnya, kerana itu kami mahu agar pesakit kami tidak merasa sedih dan sentiasa mengisi hari-hari mereka dengan kegembiraan,” kata Felicia.

Faisul dibawa menaiki jentera bomba.

Faisul dibawa menaiki jentera bomba.

Dalam pada itu, Pegawai Bomba Kanan, Rozam Shah Rahmat berkata pihak bomba sedaya upaya membantu untuk memenuhi impian Faisul dan berharap agar Faisul dapat merasai bagaimana kerjaya seorang anggota bomba.

“Kami merasa terharu dengan semangat Faisul walaupun menghidap sakit yang begitu kritikal tetapi masih bercita-cita untuk menjadi pegawai bomba.

“Hari ini kami datang seramai 12 orang dan cuba meramaikan program ini sebagai tanda sokongan sepenuhnya mewakili anggota bomba seluruh Malaysia,” katanya.

 

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda