Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Lebih 500 Sertai Seminar Wakaf di Miri

By 12 September 2017September 14th, 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Mahdini Jaini / Bolhan Haji Basah (Sarawak)

MIRI, 12 Sept, (Malaysiaaktif) – Wakaf satu bentuk amal jariah yang amat dituntut oleh Islam kerana ia merupakan cara umat Islam mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Hakikatnya, pahala berwakaf ini tidak akan putus kepada pewakaf, selama harta yang diwakafkan itu kekal dimanfaatkan.

Menyedari kepentingan amalan wakaf, pihak Tabung Baitulmal Sarawak dengan kerjasama Majlis Islam Sarawak dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak telah menganjurkan Seminar Wakaf 2017 yang berlangsung selama dua hari bermula 12 sehingga 13 September di Dewan Serbaguna Kompleks Islam Sarawak, di sini.

Menurut Penyelia SeDidik, Sarawak Economic Development Corporation Zon Miri, Limbang dan Lawas, Awangku Mohamad Awangku Abdul Rahman, 49, seminar wakaf membuka ruang kepada para peserta untuk berkongsi pendapat bersama pihak Baitulmal Sarawak bagi turut sama menjayakan program wakaf di negeri ini.

Aizidawanie (kiri) bergambar bersama 2 orang guru SMK Agama Miri.

Aizidawanie (kiri) bergambar bersama 2 orang guru SMK Agama Miri.

“Melalui projek wakaf seliaan Tabung Baitulmal Sarawak, pihak SeDidik telah menerima sumbangan tapak wakaf berupa tanah lot bagi premis Tadika SeDidik di Kampung Pengkalan Lutong, Miri.

“Dengan adanya kemudahan wakaf ini, sedikit sebanyak akan dapat mengurangkan kos sewaan premis bagi kegunaan pendidikan masyarakat setempat,” ujar Awangku Mohamad.

Datu Haji Misnu Taha (kanan) ketika berkunjung ke kaunter pameran SMK Agama Miri.

Datu Haji Misnu Taha (kanan) ketika berkunjung ke kaunter pameran SMK Agama Miri.

Seorang peserta , Penghulu Kampung Lereng Bukit, Haji Samad Alip, 74, berasa teruja kerana kali pertama beliau menyertai seminar sebegini dan banyak ilmu berkaitan wakaf yang beliau peroleh sepanjang sesi.

“Secara peribadi saya sendiri juga melaksanakan ibadah wakaf tunai secara bulanan menerusi Baitulmal Sarawak atas kesedaran sebagai umat Islam.

“Adik saya sendiri, juga antara pewakaf kerana beliau mewakafkan sebidang tanah di kampung kami bagi pembinaan surau,” katanya lagi.

Pameran diadakan sepanjang seminar berlangsung oleh beberapa pihak, termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Miri.

Menurut Kaunselor SMK Agama Miri, Noor Aizidawanie, pihak pengurusan sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah tersebut telah menjalankan projek wakaf “Program Wakaf SMKAMI” sejak 2016 dan sambutan yang diberikan amat menggalakkan.

“Menerusi ‘Facebook’ sekolah, kami sentiasa menguar-uarkan program wakaf iyang membabitkan wakaf kerusi dan Al-Quran bagi kegunaan para pelajar sekolah.

“Antara projek wakaf yang berjaya dilaksanakan pada tahun lepas termasuk wakaf van sekolah berjumlah RM119,563.00 hasil daripada sumbangan wakaf pelbagai pihak,” ujarnya.

Tambah Aizidawanie, selain menggunakan sumbangan wakaf orang ramai untuk kegunaan pelajar sekolah, pihak pengelola projek wakaf juga mengadakan sumbangan wakaf kepada golongan kurang berkemampuan di sekitar Miri.

Antara penerima wakaf yang menerima manfaat termasuk penduduk Kampung Tiris, Kampung Pejuang Kelulit, Kampung Kuala Sibuti dan Kampung Kayu Kapur di Daerah Bekenu.

Menerusi Yang DiPertua Majlis Islam Sarawak, Datu Haji Misnu Taha, beliau menghargai penyertaan yang amat menggalakkan daripada para peserta kerana ini membuktikan bahawa masyarakat Islam di Sarawak memiliki kesedaran dalam memahami kepentingan amalan berwakaf.

Hampir 500 orang peserta daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta, ketua-ketua masyarakat di sekitar Sarawak termasuk sejumlah rombongan peserta dari Brunei Darussalam terlibat dalam seminar ini.

-SH/AAS

Tinggalkan komen anda