Skip to main content
Berita TempatanNegeri Sembilan

Negeri Sembilan Terawal Lafaz Ikrar Bebas Rasuah

By 19 September 2017Tiada komen2 minit bacaan
Laporan dan Foto oleh: Noorshazana Shaadan

PORT DICKSON, 19 Sep (Malaysiaaktif) – “Negeri Sembilan merupakan negeri pertama yang menyatakan sokongan dalam GERAH dan negeri pertama yang menggerakkan rakyat supaya menjadi ahli GERAH.

“Sebanyak 60,000 orang telah mendaftar menjadi ahli GERAH di seluruh Malaysia dan 4,800 orang daripadanya merupakan ahli GERAH di Negeri Sembilan. Negeri Sembilan merupakan antara negeri yang terawal dalam mengadakan Ikrar Bebas Rasuah.

Demikian kata, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad ketika menyempurnakan Simbolik penyerahan sahabat GERAH dalam Program Kembara Jelajah Anti Rasuah 2017 (KEJAR) Peringkat Negeri Sembilan sempena Hari Ulang Tahun SPRM ke-50 di Dataran Telok Kemang, semalam.

Pada 1 Ogos yang lalu, SPRM telah melancarkan Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) yang bertujuan supaya masyarakat dapat menjadi mata dan telinga SPRM dalam usaha mencegah rasuah.

Antara yang hadir.

Antara yang hadir.

Pendekatan baharu ini juga turut memberi peluang kepada masyarakat menyumbang buah fikiran dan tenaga dalam menjadi agen SPRM untuk menyebarkan mesej anti rasuah.

Dzulkifli turut mengingatkan supaya masyarakat sentiasa bersama dengan SPRM dalam membanteras dan mencegah jenayah rasuah.

“Rakyat mahukan negeri yang bersih dan bebas daripada isu rasuah. Pastinya SPRM akan sentiasa bersedia dalam membela rakyat berdepan dengan rasuah dan memastikan negara tanpa rasuah.

“SPRM merupakan milik rakyat. SPRM akan bertindak tegas dalam memastikan pesalah jenayah rasuah ini diheret ke muka pengadilan.

“Penjawat awam, agensi kerajaan dan syarikat GLC atau sesiapa sahaja, perlu ingat bahawa SPRM memandang serius akan isu rasuah ini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata mencegah jenayah rasuah ini mestilah dimasyarakatkan dan usahanya perlulah berterusan.

“Tidak cukup hanya SPRM sahaja tetapi masyarakat perlu memainkan peranan dalam memastikan negeri ini bebas dari jenayah rasuah.

Katanya, sebuah empayar negara yang besar juga boleh musnah dek kerana rasuah ini. Kalau tidak dibendung, maka, akan datanglah malapetaka kepada negara.

“Apa yang dilakukan oleh SPRM ini di bawah kepimpinan Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan sahabat-sahabat SPRM yang lain jelas menunjukkan SPRM komited dalam menyedarkan masyarakat Malaysia akan pentingnya negara bebas jenayah rasuah.

“Usaha SPRM ini amatlah dipuji dan masyarakat Negeri Sembilan mestilah bersama-sama dengan SPRM dalam mengelakkan negeri ini jatuh dalam jenayah rasuah,” katanya.

“Saya sendiri telah mendaftar menjadi ahli GERAH dan marilah sama-sama kita menjadi ahli GERAH SPRM ini,” tambahnya.

Program KEJAR Peringkat Negeri Sembilan ini turut diisi dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang lain antaranya pameran agensi kerajaan, acara mengacau dodol, pertandingan mewarna, penyampaian sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pelancaran Rakan Integriti.

-SF

Tinggalkan komen anda