Skip to main content
Berita TempatanHomeNegeri Sembilan

Rumah Mampu Milik – Hadiah Yang Cukup Bermakna

By 26 September 2017September 27th, 2017Tiada komen3 minit bacaan
Oleh: Noorshazana Shaadan / Foto: Kamaruss Ab. Aziz

PORT DICKSON, 26 Sep (Malaysiaaktif) – “Keterbukaan kerajaan negeri dalam memberikan peluang kepada golongan muda sepertinya untuk memiliki rumah ialah satu hadiah yang cukup bermakna.

Demikian kata salah seorang pemilik Rumah Mampu Milik Type A, Mohd Syamim Syukri, 27, ketika ditemui Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik Type A Taman Sunggala Hartamas dan Penyerahan Suratan Hak milik Rumah Rakyat Telok Kemang Fasa III semalam.

Tambahnya, pembelian tersebut sekali gus dapat mengelakkan dirinya dibebani banyak hutang.

“Saya bujang dan memiliki rumah pertama dengan harga RM74,888. Ini satu kenangan yang cukup berharga dalam kehidupan kerana secara tidak langsung saya dapat mengelakkan diri daripada dibebani dengan hutang,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa pemaju perumahan perlulah memaksimumkan keuntungan yang diperoleh untuk disalurkan semula kepada masyarakat dalam bentuk pembinaan Rumah Mampu Milik yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti surau, gelanggang futsal dan dewan.

Mohamad kita merasmikan majlis.

Mohamad kita merasmikan majlis.

“Isu harga rumah yang melambung tinggi sudah sampai ke satu tahap yang di luar kemampuan dan rakyat semakin gelisah.

“Skim harga rumah Dasar Perumahan Kerajaan Negeri ini adalah mampu mengikut lapisan masyarakat dan pendapatan. Kerajaan negeri telah menaikkan kuota pemilikan rumah bagi Bumiputera daripada 30% kepada 50%.

“Kerajaan yang dipilih pada 2014 telah diberi tanggungjawab dan bagi menjayakan falsafah Memajukan Negeri, Mensejahterakan Rakyat, maka kerajaan Negeri Sembilan telah mewujudkan Dasar Perumahan Kerajaan Negeri.

“Banyak unit rumah yang akan dan telah dibangunkan oleh kerajaan negeri seperti di Siliau Jaya sebanyak 150 unit rumah dengan harga RM43,000, Tanah Merah sebanyak 100 unit, Chembong sebanyak 450 unit dan akan dibangunkan lagi di Labu serta Sendayan,” jelasya

Kerajaan Negeri Sembilan melalui Dasar Perumahan Kerajaan Negeri telah melaksanakan pembinaan rumah mampu milik kategori A, B dan C mengikut kelayakan pemohon. Melalui dasar ini, pemaju perumahan juga adalah diwajibkan membina 50% daripada semua unit yang dibina dalam bentuk rumah mampu milik kategori yang ditetapkan.

Seramai 87 orang penerima kunci bagi Rumah Mampu Milik Type A di Taman Sunggala Hartamas telah dapat menikmati kadar lebih rendah nilai rumah daripada RM80,000 kepada RM74,888.00.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bagan Pinang, Datuk Tun Hairudin Abu Bakar berkata, rakyat dapat memiliki rumah dengan harga yang mampu milik.

“Ini merupakan kejayaan pelaksanaan Dasar Perumahan Kerajaan Negeri yang telah diadakan pada 27 Mei 2015.

“Kejayaan ini juga ialah bukti dasar yang diilhamkan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan ini  dapat diterjemahkan dalam pembangunan yang sebenar,” katanya.

Tambahnya, selain pembangunan Dasar Perumahan Kerajaan Negeri, kerajaan negeri turut membangunkan perumahan rakyat yang telah dibangunkan pada 1 Mac 1997 dengan kadar bayaran RM141.23 sebulan.

“Melalui penyerahan suratan hakmilik Rumah Rakyat Telok Kemang Fasa III ini, ia adalah mengesahkan bahawa pemilikan rumah serta transaksi hartanah telah dibuat dengan pihak kerajaan negeri sebaiknya,” katanya lagi.

Pada majlis yang sama, seramai 102 orang pemilik suratan hak milik Rumah Rakyat Telok Kemang Fasa III turut menerima penyerahan hak milik.

 

Tinggalkan komen anda