Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Sampah Pemusnah Hidupan Laut

By 12 Oktober 2017Julai 25th, 2018Tiada komen5 minit bacaan

Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Azman Jumat (Sabah)

KOTA KINABALU, 12 Okt (Malaysiaktif) – Sebagai pencinta alam sekitar dan seorang penyelam yang berpengalaman, Rudy Matahari, 51, sangat memandang serius isu sampah yang hanyut di lautan lepas.

Rudi yang ditemui pada Khamis turut berkongsi beberapa pengalaman yang ditempuhinya saat menyelam ke dasar laut.

Rudy (kanan) menjelaskan kepentingan menjaga kehidupan marin kepada penyelam yang belajar daripadanya.

Rudy (kanan) menjelaskan kepentingan menjaga kehidupan marin kepada penyelam yang belajar daripadanya.

“Saya pernah lihat ikan dan udang kara tersangkut di pukat yang dibuang oleh nelayan kemungkinan sebab pukat itu tersangkut di batu karang, jadi mereka akan tinggalkan saja.

“Ada juga ikan yang cedera ditembak atau mulutnya masih tersangkut tangsi kemungkinan terlepas ketika dipancing jadi sebagai peyelam kami akan bantu lepaskan ikan-ikan tersebut dan kemudian buang pukat tersebut di darat,” ujar Rudy.

Katanya juga, spesies terumbu karang sememangnya banyak pemusnah antaranya penggunaan sodium cyanide yang digunakan untuk mengebom ikan apatah lagi apabila tiba musim tapak sulaiman yang menjadikan batu karang sebagai makanan.

“Seekor tapak sulaiman berkebolehan untuk memusnahkan kawasan terumbu karang seluas 10 meter per segi dalam setahun. Kita perlu tahu, apabila tapak sulaiman sudah wujud, maka bererti laut sudah tercemar.
“Laut tercemar adakalanya disebabkan baja yang digunakan oleh petani untuk menanam sayur dihanyutkan oleh hujan air ke laut mengakibatkan sejenis tumbuhan di laut menjadi subur menjadikan fenomena laut merah.

“Batu karang ni nampak seperti batu, tapi ialah haiwan. Pertumbuhan batu karang ini sebenarnya sangat perlahan. Dalam setahun hanya membesar 1.4sm tapi dimusnahkan dalam sekelip mata,” kata Rudy yang jelas sangat kecewa.

Begitu juga isu sampah yang memenuhi Sungai Likas dan hanyut ke laut lepas acapkali menimbulkan pertelagahan dan sikap saling menuding jari antara penduduk sekitar dan penghuni Pulau Gaya.

. Para penyelam tidak akan dapat menikmati keindahan terumbu karang jika air laut tercemar.

Para penyelam tidak akan dapat menikmati keindahan terumbu karang jika air laut tercemar.

“Saya sendiri tinggal di Pulau Gaya dan permasalahan sampah ini memang membuatkan saya sendiri sakit hati. Saya tidak menyebelahi penduduk di pulau kerana sedikit sebanyak memang mereka turut membuang sampah.

“Tetapi, adalah tidak adil jika penduduk pulau dipersalahkan 100 peratus kerana kebanyakan sampah juga adalah dari daratan sebab apabila air pasang, sampah akan naik mengikut arus dan apabila surut akan terus ke laut,” jelasnya.

Rudy berharap agar penduduk pulau tidak dipersalahkan sepenuhnya kerana jika diteliti, sampah-sampah yang hanyut setiap hari adalah daripada barangan yang bernilai yang tidak mampu dibeli oleh penduduk pulau yang rata-rata berpendapatan rendah.

Kata Rudy, ketika menjadi pemandu pelancong, isu ini pernah ditanyakan kepadanya oleh pelancong luar hingga dia berasa malu untuk menjawab.

“Kita cari jalan untuk mengatasi masalah sampah. Ada baiknya berhenti menuding jari, hentikan pertelagahan dan cari jalan penyelesaian kerana kehidupan marin semakin tercemar dan musnah.

Menurutnya, sebelum ini ada pihak yang memasang penghadang untuk memerangkap sampah, tetapi apabila sampah banyak terperangkap lantas menjadi berat dan akhirnya jatuh ke bawah. Ini kerana tiada petugas yang memantau dan memungut sampah-sampah tersebut.

“Adakalanya saya menganjurkan pembersihan di dasar laut Pulau Sapi yang memakan masa selama tiga hari serta menjemput penyelam dengan mengenakan bayaran minimum.

“Bukan penyelam pula akan berada di pantai dan membersihkan kawasan pesisir dan hasil daripada kerjasama tersebut hampir separuh bot dipenuhi sampah dapat dikumpul setiap hari.

“Saya sering mahu buat jika ada pihak mahu menaja. Biasanya kalau buat sendiri saya akan uar-uarkan di Facebook. Kalau ada agensi yang sudi, sebaiknya dilakukan dua kali setahun,” ujar Rudy.

Keluarga dapat beriadah di Pulau Sapi yang bersih daripada sampah jika Kempen Pembersihan Dasar Laut kerap dilakukan.

Keluarga dapat beriadah di Pulau Sapi yang bersih daripada sampah jika Kempen Pembersihan Dasar Laut kerap dilakukan.

Sementara itu, Datuk Bandar Raya Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai berkata Dewan Bandar Raya Kota Kinabalu (DBKK) telah memulakan satu projek kasih sayang di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya antaranya Pusat Kitar Semula bagi mengatasi masalah sampah di pulau itu sejak sekian lama.

“Tiga komponen telah selesai dibina iaitu jeti, bilik kuliah dan seterusnya disimenkan agar boleh digunakan oleh anak-anak kampung untuk aktiviti sukan.

“Di jeti itu akan dibina Pusat Kitar Semula yang dianggarkan akan siap pada Disember ini dan akan dapat digunakan sepenuhnya pada Januari tahun depan,” ujarnya.

Tambahnya, pada 17 dan 18 Oktober ini, DBKK akan membawa 10 orang penduduk Lok Urai bersama 11 peserta lain untuk melawat Pulau Ketam, Klang dan melihat kejayaan mereka mengitar semula plastik dan sampah di pulau itu.

Katanya lagi, sempena Hari Alam Sekitar pada 21 Oktober pula, DBKK akan bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar dan juga Jabatan Perlindungan Alam Sekitar untuk melancarkan program kesedaran di Dataran Deasoka, yang dijangka akan dirasmikan oleh Ketua Menteri.

“Seterusnya pada 23 Oktober pula, satu bengkel khas Kempen Kebersihan Seluruh Kota Kinabalu akan diadakan dengan menjemput pihak Dewan Bandaraya Pulau Pinang, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak untuk berkongsi pengalaman mereka menjaga kebersihan dan mengurangkan penggunaan plastik.

“Projek kitar semula di tiga buah kawasan perumahan iaitu Taman Jindo, Taman Greenview dan Kondominium Alam Damai juga dijalankan untuk memisahkan sampah-sampah dan satu dasar akan digubal sekiranya berjaya sebelum dilaksanakan dikawasan lain pula.

“Kami akan berikan insentif kepada yang berjaya laksanakan projek ini dengan pengurangan pungutan cukai sebagai galakan penyertaan,” jelasnya.

Menurutnya, Pembersihan Bandar Raya Kota Kinabalu juga mendapat kerjasama yang baik daripada Badan Bukan Kerajaan, Kolej-kolej swasta dan juga Jabatan Penjara.

Laut yang cantik juga dapat menarik kehadiran ramai pelancong.

Laut yang cantik juga dapat menarik kehadiran ramai pelancong.

Selain itu, perjanjian bersama dua lagi institusi iaitu Universiti Malaysia Sabah dan dan World Wild Fund for Nature (WWF) turut dibuat dalam menangani masalah plastik dan sampah sarap di Sungai Inanam dan Sungai Likas.

“Ini akan dilaksanakan sebelum hujung tahun ini dan kita boleh buat beberapa projek untuk menghalang sampah sampai ke laut.

“Kami akan kempen dari rumah ke rumah di sekitar perairan dan membuat lebih banyak tempat untuk membuang sampah di darat supaya mereka tidak buang di air dan seterusnya hanyut di laut.

“Setelah semua ini dibuat barula kami buat penguatkuasaan untuk menghukum mereka, jika mereka masih juga tidak bekerjasama kami akan merobohkan rumah di kawasan setinggan.

“Ini bagi memastikan tiada masalah sampah di laut hingga mengakibatkan hidupan di laut mati dan memberi kesan negatif kepada pelancongan dan saya rasa ini memang satu cabaran untuk menjaga kebersihan di Kota Kinabalu,” ujarnya.

-SF

Tinggalkan komen anda