Skip to main content
Berita TempatanHomeLabuanWilayah Persekutuan

Van Bergerak Permudah Kutipan Zakat

By 10 Oktober 2017Tiada komen2 minit bacaan
Oleh: Mohd Faizal Mansor / Foto: Jeffrey Nian

LABUAN, 10 Okt (Malaysiaaktif)– “Dengan adanya van bergerak ini, saya percaya akan memudahkan lagi perlaksanaan ibadah rukun Islam yang ketiga.

Demikian ujar warga Labuan, Haryadi Omar, 41, ketika ditemui semasa Pelancaran Van Bergerak Pungutan Zakat PPZ MAIWP sempena Seminar Zakat ‘Harta Barakah, Perkasa Ummah’ di sini, pagi tadi.

Tambahnya, pungutan zakat dapat dibuat tanpa perlu pergi ke kaunter pungutan zakat di bandar Labuan selain van tersebut dapat berkunjung ke kampung-kampung bagi memudahkan penduduk kampung untuk berurusan menunaikan zakat.

“Saya percaya van ini akan memudahkan lagi bayaran zakat selain menarik lebih ramai lagi muzakki (pemberi zakat) yang kesuntukan waktu bekerja mahupun menguruskan perniagaan mereka untuk melaksanakan ibadah mulia tersebut,” kata Haryadi.

Sementara itu, bagi Ismail Samad, 50, usaha tersebut amatlah dialu-alukan kerana ramai lagi muzakki berkemampuan yang ingin membayar wang zakat secara berkala atau bulanan belum menampilkan diri untuk melaksanakan ibadah mulia tersebut.

“Justeru van bergerak ini boleh dijadikan sebagai pemudah cara untuk menunaikan amalan zakat. Ibadah pungutan zakat fitrah pada bulan Ramadan juga dapat dipermudah dan pungutan yang lebih efisien lagi kerana van tersebut boleh diletakkan di bazar Ramadan mahupun di tengah bandar terutama semasa umat Islam sibuk membuat persiapan hari raya sehingga terlupa untuk melunaskan zakat fitrah hinggalah  pada saat akhir sebelum Syawal,” ujar Ismail.

Dalam pada itu, Tuah Wahab, 65 berkata van bergerak tersebut dapat dijadikan “one stop centre” bagi sebarang kemusykilan tentang bayaran zakat bagi umat Islam di Labuan.

“Kadangkala pelbagai persoalan tentang zakat selalu timbul dalam kalangan masyarakat Islam. Oleh yang demikian, pegawai yang bertugas di van bergerak tersebut boleh memberi sedikit penerangan kepada masyarakat Islam di sini tanpa perlu ke pejabat MAIWP Labuan,” jelas Tuah.

Nor Mukshar Harun

Nor Mukshar Harun

Menurut Penolong Pengurus Besar Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif PPZ MAIWP, Nor Mukshar Harun, setakat ini sebanyak empat buah van telah diberikan kepada PPZ MAIWP Kuala Lumpur dan satu buah van bagi PPZ MAIWP Labuan yang telah mula beroperasi sejak awal bulan ini.

“Selain menjadi kaunter zakat bergerak, van bergerak tersebut turut menawarkan beberapa lagi perkhidmatan seperti pertanyaan taksiran zakat, skim potongan gaji zakat (skim Thohir), salinan penyata atau resit zakat, pembayaran zakat secara tunai dan cek, kad kredit Islam dan kad debit,” ujar Mukshar.

Turut hadir, Pengerusi PPZ MAIWP, Datuk Che Mat Che Ali.

 

-SF

Tinggalkan komen anda