
Laporan dan foto : Mohd Baharruddin Mohamad /Jaed Tepus (Sarawak)
SEBUYAU, 3 Nov (Malaysiaaktif) – Sebanyak RM16 juta diperuntukkan untuk Projek pembangunan Bandar Baharu Sebuyau bagi membina kemudahan untuk membangunkan bandar ini agar lebih tersusun dan mempunyai semua kemudahan perkhidmatan kerajaan.
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg mengumumkan peruntukkan tersebut pada Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Bandar Baharu Sebuyau di Tapak projek di sini, semalam.
Beliau menjelaskan peruntukan tersebut bagi melaksanakan projek pembinaan Masjid Sebuyau fasa tiga dengan kos RM6 juta dan projek pembinaan rumah penginapan atau Chalet Sebuyau sebanyak RM10 juta.
“Projek ini merupakan perancangan daripada mantan Ketua Menteri, Tun Abdul Taib Mahmud bagi membangunkan Bandar Baharu Sebuyau agar Sebuyau ini lebih tersusun dalam pembangunan.
“Peruntukan sebanyak RM6 juta ini akan digunakan bagi menyiapkan fasa ketiga masjid baharu Sebuyau dengan kelengkapan penuh yang diperlukan, manakala selebihnya untuk pembinaan chalet untuk kegunaan pegawai kerajaan dan orang ramai menginap di Sebuyau ini,” jelasnya lagi.
Projek Pembangunan Bandar Baharu Sebuyau ini akan dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (PELITA) di kawasan seluas 298.51 ekar.
Seorang penduduk tempatan yang tidak ingin dikenali, ternyata gembira dengan keputusan kerajaan negeri ini.
“Penduduk Sebuyau berasa gembira sekali kerana bandar ini bakal dibangunkan sebagai bandar baharu.
“Diharapkan Sebuyau pada masa hadapan akan lebih maju dalam pembangunan agar seiring bandar-bandar maju lain,” katanya penuh berharap.