
Laporan & Foto: Fauzrina Bulka (Sabah)
KOTA KINABALU, 21 Nov (Malaysiaaktif) – Gema Asmaul Husna berkumandang sebagai pembuka acara dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Tadika Pintar Al-Hafiz yang berlangsung pada Ahad.
Seramai 13 orang pelajar berusia enam tahun menjalani majlis menamatkan pembelajaran di tadika tersebut dan yang lainnya hadir menerima pelbagai anugerah.
Pengurusnya, Ustaz Mohd Zulfikar Abdul Mijan berkata penubuhan tadika tersebut sejak awal 2016 menekankan pendidikan akhlak kepada anak-anak dan praktikal amali serta hafalan al-Quran.
“Kami turut menekankan juga dari segi akademik kepada anak-anak kita agar setanding dengan tadika-tadika lain yang ada.
“Cuma kelebihan pelajar kita ini, kita ada praktikal solat bermula daripada Subuh, Dhuha, Zuhur dan Asar serta hafalan secara berterusan dan dari segi itu saya lihat pelajar kita lebih ke hadapan berbanding yang lain,” jelasnya.
Zulfikar juga maklum tentang cabaran pada masa ini yang agak besar serta saingan yang tinggi pelbagai institusi, tadika dan taska yang ada sekarang.
“Namun kami mengambil cabaran itu dengan memberi penekanan pada kaedah membaca dengan cepat, membaca al-Quran dengan cepat serta pembentukan akhlak pelajar.
“KPI kami juga memastikan pelajar enam tahun ini boleh membaca sebelum memasuki darjah satu dengan baik, boleh solat dengan baik serta memiliki akhlak yang baik,” ujarnya.
Dia juga berharapan kepada semua ibu bapa yang memberikan sokongan kepada tadika ini agar terus memberi pendedahan pendidikan khususnya pendidikan agama Islam kepada anak-anak.
“Pendedahan itu termasuklah kaedah membaca al-Quran dan hafalan, solat dan sebagainya dan saya doakan anak-anak ini terus mencapai kecemerlangan pada masa-masa akan datang,” kata Zulfikar.
Dalam pada itu, ayah kepada pelajar Tadika Pintar Al-Hafiz, Sisu Arman Amir, 34 tidak menyangka anak sulungnya, Syahmi Amsyar, 5, dapat meraih pelbagai anugerah termasuklah kategori hafazan dan solat terbaik.
“Memang sejak Syahmi berusia tiga tahun, kami dapat mengesan yang dia mudah menangkap sesuatu pembelajaran dan memandangkan ibunya juga seorang guru, maka ibunya banyak membantu dari segi akademik.
“Tapi Alhamdulillah, sejak dia belajar di Tadika Pintar ini, saya dapat melihat perkembangannya adalah dari segi solat dan bacaan yang sangat jelas,” ujarnya yang juga merupakan seorang pensyarah.
Arman juga berpendapat dalam keadaan yang semakin mencabar ini, didikan yang sempurna mestilah bermula daripada rumah dan tidak bergantung sepenuhnya kepada pihak sekolah khasnya pendidikan agama.
“Saya dan isteri sudah bersepakat dan fokus untuk mendedahkan Syahmi kepada pendidikan agama terlebih dahulu kerana kami berpendapat jika anak-anak mendapat pendidikan agama yang baik, insya-Allah perkara-perkara yang lain akan lebih mudah diterima.
“Dari segi akademik pula memang tidak dinafikan kita perlu pantas mengikuti sistem pendidikan sekarang, kita akan cuba seimbangkan kerana dalam zaman yang luarbiasa sekarang ini kita kena balik ke rumah untuk tekankan aspek-aspek keagamaan,” jelas Arman.
-SF