
Laporan dan foto: Wee Kim Been, Khairunissa Ismail (Kelantan)
TUMPAT, 9 Dis ( Malaysiaaktif) – Seramai 120 orang remaja telah menyertai Kem Dhamma Remaja 2017 yang telah diwujudkan sejak 7 tahun lepas khususnya bagi remaja kaum bukan Melayu Negeri Kelantan.
Program anjuran bersama Persatuan Meditasi Mettarama, Kota Bharu, Persatuan Peranakan Cina Kelantan dan Nalanda Dhamma School Serdang, Selangor ini berlangsung selama tiga hari bermula semalam bertempat di Wat Kubang Panjang, Wakaf Bharu.
Menurut ketua penganjur, Tan Sew Heang, 45, sambutan program ini amat menggalakan dan dapat memberi pendedahan baharu kepada golongan remaja.
“Melalui program ini, mereka diberi pendedahan dalam mencari hala tuju kehidupan yang semakin mencabar,” ujarnya.
Menurut suri rumah, Tan Kim Chin, 46, setiap perlakuan, gerak geri semuanya bermula dari rumah.
“Anak-anak ibarat sehelai kain putih jadi bentuklah keperbadian mulia sebagaimana ajaran Buddha Gautama yang mana setiap agama di dunia ini semuanya mengajar kearah kebaikan, kemuliaan dan menghindari setiap keburukan,” katanya.
Sementara itu seorang peserta, Law Ai Vi, 17 berasa cukup bertuah kerana dapat sama-sama menyertai kem ini yang disifatkannya cukup penting dalam memastikan kehidupan adalah seimbang.
“Ilmu agama adalah penting ke arah kelangsungan hidup yang lebih harmoni, sejahtera sebagaimana yang ditekankan setiap agama,” jelasnya kepada Malaysiaaktif.