Skip to main content
Berita TempatanSabah

Karya Norsiah Angkat Keunikan Etnik Rungus

By 9 Disember 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Azman Jumat (Sabah)

KOTA KINABALU, 9 Dis (Malaysiaaktif) – Terserlah keunikan kehidupan suku etnik rungus dalam 10 karya yang dihasilkan oleh Norsiah Mojurong, 39, semasa Pameran 300 Siri II di Balai Seni Lukis pada Selasa.

Cintanya terhadap nilai tradisi suku kaumnya sama ada pakaian atau cara hidup ditransformasi melalui lukisan hingga hasilnya menjadi indah dan sangat berseni.

“Pada awalnya, saya gemar melukis pemandangan seperti Gunung Kinabalu dan pelbagai ciri kenegerian menggunakan warna air.

Norsiah serlah identiti etnik Rungus dalam karyanya.

Norsiah serlah identiti etnik Rungus dalam karyanya.

“Selepas itu. saya memikirkan perlunya saya ada identiti sendiri dan saya segera memikirkan apa salahnya jika saya serlahkan keunikan etnik kami.

“Ada pelbagai alat tradisional yang ingin ditonjolkan seperti penggunaan dapur kayu dan kukur kelapa yang saya sendiri masih gunakan jika balik kampung di Kudat,” jelas Norsiah yang juga seorang kerani di pejabat guaman.

Lebih manis, melalui seni inilah dia dan suami bertemu dan selepas itu sering bergandingan dalam program-program seni.

Menurut Norsiah, sebelum ini, dia sering berkunjung ke balai seni dan memerhati para pelukis senior termasuk suaminya di bengkel-bengkel yang dianjurkan hingga menimbulkan minatnya untuk turut serta.

Berkongsi minat yang sama, terdapat bilik khusus di rumah mereka untuk mereka berkarya dan ada kalanya bersama-sama dua orang anak mereka melakukan aktiviti di luar rumah sambil melukis di hujung minggu.

“Saya juga berimpian untuk mempunyai galeri mini sendiri yang mampu menempatkan koleksi kami berdua untuk memudahkan pelanggan tetap dan peminat seni berkunjung mendapatkan karya kami.

“Buat masa ini karya kami boleh diperoleh di laman seni yang juga disediakan oleh JKKN dan ada kalanya kami juga membuka gerai di Pasar Tamu, Jalan Gaya pada hujung minggu.

“Kebanyakan kerja kami dihasilkan dalam saiz yang kecil bagi memudahkan pelancong membawa pulang sebagai kenang-kenangan,” katanya.

Selain pelancong, pelanggannya juga terdiri daripada ahli perniagaan yang berminat menghiasi pejabat atau homestay mereka dengan karya Norsiah.

Sementara itu, suaminya, Daiman Bona yang sudah aktif melukis sejak 1998 lebih berminat menghasilkan karya pemandangan dan kebudayaan.

“Biasanya saya akan pergi ke tempat itu dan rakam gambar menggunakan telefon bimbit. Tetapi kalau berkesempatan, saya akan terus lukis di situ.

“Selain melakukan aktiviti luar dengan melukis bersama keluarga, kami juga sering busking kerana saya suka memetik gitar dan kebanyakan masa dilakukan di Laman Seni.

“Beruntung jika dibandingkan di tempat lain kita perlu berusaha untuk mencari tempat pameran, ini merupakan peluang keemasan untuk menunjukkan karya yang kita buat,”katanya.

Daiman lebih berminat menghasilkan karya pemandangan dan kebudayaan.

Daiman lebih berminat menghasilkan karya pemandangan dan kebudayaan.

Menurut Daiman, penerimaan masyarakat tempatan khususnya di Sabah terhadap seni masih rendah berbanding luar negara.

“Melalui pengalaman kami sejak mula serius dalam bidang ini kebanyakan yang membeli ialah orang luar seperti pelancong asing dan dari tanah semenanjung.

“Jika adapun orang tempatan, pasti mereka ialah pengumpul seni dan punya perniagaan sendiri.

“Oleh sebab itu, kami mengalu-alukan orang ramai untuk datang ke laman seni melihat pameran dan kami bersedia memberi penerangan apa itu sebenarnya seni,” ujar Daiman.

Jelasnya juga, walaupun setiap individu mempunyai karier profesional masing-masing  tetapi mendekati seni itu harus kerana seni merupakan satu hiburan dan juga terapi kesihatan.

“Saya sendiri seorang juruelektrik yang pastinya satu bidang tugas yang berjauhan daripada seni lukis tetapi seni inilah yang banyak membantu untuk melepaskan tekanan semasa bekerja.

“Sebenarnya jika kita bersungguh-sungguh dalam seni dan serius menganggapnya satu kerjaya, saya rasa tiada masalah untuk kita berjaya kerana yang pasti seni juga punya masa depan,” katanya yang pernah menjual karya bertajuk Kampung Mengkabong bernilai RM7000 dan dibeli oleh Tan Sri Datuk Muhyiddin Yassin pada 2012.

Pameran 300 Siri II dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar, Datuk Seri Masidi Manjun.

Dalam ucapannya Masidi menyarankan agar orang ramai sentiasa menyokong hasil lukisan dan karya seni tempatan yang sememangnya bermutu tinggi setanding hasil karya dari luar.

Masidi juga berharap agar karyawan tidak mudah mengalah tetapi terus menonjolkan dan mengasah bakat masing-masing dalam seni lukisan.

SF

Tinggalkan komen anda