
Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Azman Jumat (Sabah)
KUALA LUMPUR, 24 Dis (Malaysiaaktif) – Kepelbagaian etnik, suku kaum dan perkahwinan campur di tempat asalnya di Sabah memberi kelebihan buat jurufoto, Azman Jumat, 49 untuk merakamkan wajah-wajah unik tersebut sebagai koleksi peribadinya.
Koleksi yang dirakam sejak 2010 akhirnya dikongsi bersama pencinta seni ketika dia diundang menyertai Pameran Wajah dan Landskap Dua Negara Malaysia – Brunei yang bermula 15 hingga 30 Disember ini.
Pameran anjuran Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) dan Street2Street(S2S) Malaysia itu telah mendapat kerjasama Komuniti Colony Foto Malaysia, StreetFotoMalaysia dan MAL-BRU Community.
Mengulas lanjut, Azman telah menghantar tiga keping foto wajah daripada tiga generasi yang menurutnya merupakan foto-foto kegemarannya yang mempunyai kekuatan karakter masing-masing.
“Pernah suatu ketika saya terlibat dengan trip fotografi ke Pulau Mabul, Semporna, saya terserempak dengan Jujung bersama kawan-kawannya.
“Melihat wajah comelnya seperti yang berjaya saya rakamkan pasti kita tertanya-tanya kisah di sebalik parut yang terdapat di dahinya.
“Begitu juga foto kedua yang saya rakamkan ketika bertugas semasa Pesta Kalimaran di rumah Tradisi Tenom, saya bertemu dengan pemuda berbangsa Murut yang mengenakan pakaian tradisi bersama tengkorak kepala burung sebagai perhiasan kepala.
“Manakala seorang lagi, Pak Cik Manan Madin yang berpakaian tradisi Dusun Tuhawon, diperbuat kulit kayu yang dianyam dengan siput laut sebagai perhiasan saya temui semasa bertugas sempena Pesta Sabah,” jelas Azman.
Menurutnya, cabaran merakamkan potret wajah ialah apabila perlu memilih karakter dan menentukan raut wajah yang menarik.
“Seperti juga melihat benda yang cantik tapi adakah yang cantik itu bernilai, baik dan halus bentuknya?
“Wajah misteri juga menarik bagi saya, akan timbul tanda tanya yang membuatkan kita cuba meneka kehidupan di sebalik empunya wajah itu.
“Cabarannya memang berbeza berbanding mengambil gambar landskap, tempat, cuaca dan masa sentiasa menjadi cabaran,” ujar Azman yang sudah 25 tahun bertugas sebagai jurufoto di Jabatan Penerangan(JaPen) Sabah.
Tambahnya, dari sudut komposisi pula terpulang kepada individu kerana ada jurugambar yang suka mengambil potret yang dirakam ala-ala studio.
“Ada juga yang merakamkan potret secara kebetulan seperti saya yang selalunya merakamkan potret sama ada ketika bertugas membuat liputan atau semasa melancong.
“Biasanya saya akan cuba berkenalan dahulu dengan individu tersebut sebelum meminta izin merakam wajah mereka dan melihat reaksi dan penerimaannya tetapi sesetengahnya tidak kisah wajahnya dirakam.
“Kebanyakannya memberi respons yang amat baik, mungkin kerana senyuman saya memikat hati mereka, senyuman itu kan satu sedekah,” ujarnya bergurau.
Azman juga bersyukur kerana Pengarah JaPen Sabah, Swady Guliling memberi sokongan penuh penglibatannya dalam pameran ini.
“Tinggi harapan saya ketika bertemu Pengarah bagi mendapatkan kelulusan ke program ini, mujur beliau seorang yang sangat positif dan sentiasa menyokong bakat kreatif orang bawahannya.
“Beliau sentiasa memberikan galakan kepada setiap kakitangannya supaya sentiasa menimba ilmu dan mempelbagaikan kemahiran dalam diri juga berani meneroka pengalaman baharu.
“Nampaknya kali ini rezeki saya untuk melihat sendiri karya saya dipamerkan di MATIC tidak seperti penyertaan sebelum ini, saya tidak dapat hadir kerana kekangan kerja.
“Pada saya, dapat menyaksikan sendiri karya dipamerkan adalah satu rahmat, ditambah lagi keluarga dan rakan-rakan turut hadir memberikan sokongan merupakan kegembiraan berganda buat saya pada 2017,”ujar Azman.
Sementara itu, Pengarah Pesuruhjaya Pameran S2S Malaysia, Tony MDY berkata S2S telah dilantik sebagai rakan strategik kepada MATIC melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan(NBOS) dan bertindak sebagai Pesuruhjaya Pameran.
“S2S merancang dan melaksanakan segala aktiviti khususnya pameran fotografi, bengkel, forum dan aktiviti seni di Galeri Seni MATIC sepanjang tahun dan pameran yang sedang berlangsung ini adalah antara aktiviti dan julung kali diadakan antara dua negara.

Tony berkata tujuan inisiatif ini adalah untuk menyemai rasa bangga dan semangat cinta akan Malaysia dan Brunei.
“Objektifnya ialah sebagai pertukaran seni antara penggiat seni fotografi kedua-dua negara dan menjadikannya sebagai acara tahunan kalendar acara pelancongan Malaysia,” jelasnya.
Tambahnya juga, pameran seperti ini bukan sahaja antara negara Brunei malah sebelumnya mereka juga telah mengadakan pameran bersama Indonesia pada Ogos lalu, malah telah beberapa kali mengadakan pameran fotografi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Antaranya seperti International Street Photography Exhibition yang membabitkan lapan buah negara seperti China, Brunei, Filipina, Indonesia, Jepun, Thailand, Singapura dan Malaysia sebagai tuan rumah pada Mac 2017.
“Setiap anjuran yang dilaksanakan mempunyai tema dan genre yang berlainan, begitu juga dengan pameran ini yang merupakan satu inisiatif untuk semua rakyat Malaysia dan Brunei bersatu hati bertunjakkan semangat cinta akan negara.
“Tujuan inisiatif ini adalah untuk menyemai rasa bangga dan semangat cinta akan Malaysia dan Brunei dan memberi penekanan kepada kejayaan dan pencapaian yang boleh menjadi inspirasi dalam kalangan warganya,”ujar Tony.
Pameran yang diadakan ini memaparkan sebanyak 80 keping karya foto kolektif daripada 55 orang jurufoto di seluruh Malaysia dan Brunei sebagai bahan yang akan dipamerkan di Galeri Seni MaTiC.
“55 orang pempamer hadir atas undangan sahaja, yang telah terpilih kerana sudah dikenali dan memang telah berkecimpung dalam seni ini dan karya mereka pula dipilih berdasarkan tema, kreativiti dan artistik.
Pameran tersebut telah dirasmikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Brunei di Malaysia, Datuk Alaihuddin Awang Mohd Taha dan dihadiri oleh Mantan Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Datuk Mahadir Lokman.
–SF