Skip to main content
Berita TempatanNegeri Sembilan

693 Terima Pingat Sempena Ulang Tahun Tuanku Muhriz

By 15 Januari 2018Tiada komen2 minit bacaan
Laporan: Hamidah Md Drus / Foto: Mohd Khairulnizam Mohd Yunus

 

KUALA PILAH, 15 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 693 orang menerima darjah kebesaran bintang dan pingat sempena ulang tahun keputeraan ke-70 Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, semalam.

Mendahului senarai penerima pingat, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah. Baginda yang dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah ke-29 pada 12 September tahun lalu, dikurniakan Darjah Kerabat Negeri Sembilan (DKNS).

Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz pula dikurniakan Darjah Seri Setia Tuanku Muhriz Yang Amat Terbilang (SSTM).

Tunku Zain Al-'Abidin Tuanku Muhriz menerima Darjah Seri Setia Tuanku Muhriz Yang Amat Terbilang (SSTM).

Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz menerima Darjah Seri Setia Tuanku Muhriz Yang Amat Terbilang (SSTM).

Putera kedua kepada Tuanku Muhriz dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud ini merupakan Presiden Pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas).

Dalam pada itu, Tuanku Muhriz dalam titahnya menyatakan inti pati kepada kemakmuran dan kestabilan ialah kedamaian dan keharmonian.

“Sesebuah negara tidak mungkin berkembang dan mengecapi pembangunan sekiranya berada dalam keadaan kucar-kacir dan tidak menentu.

“Alhamdulillah, sepanjang Beta bersemayam, kedamaian dan keharmonian di Negeri Sembilan dapat dirasai manakala setiap rakyatnya berada dalam keadaan sejahtera dan menjalani kehidupan dengan aman damai dalam kepelbagaian resam dan budaya,” tambahnya.

Tuanku Muhriz juga menzahirkan ucapan penghargaan kepada semua pihak terutama kepada Meneteri Besar atas persembahan ucapan tahniah dan ikrar taat setia kepadanya bagi pihak Kerajaan, pegawai- pegawai perkhidmatan awam dan seluruh rakyat.

Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat ini diadakan di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti.

Sebelum itu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan berkenan mencemar duli melakukan pemeriksaan Kawalan Kehormatan ke atas Perbarisan Anggota Tentera Malaysia di Padang Besar Seri Menanti.

SF

Tinggalkan komen anda