Skip to main content
Berita TempatanNegeri Sembilan

Nilai, Sendayan Dapat Hospital Baharu

By 23 Januari 2018Januari 25th, 2018Tiada komen2 minit bacaan

Laporan & Foto: Daniel Jong (Seremban)

SEREMBAN, 23 Jan (Malaysiaktif) – “Rakyat Negeri Sembilan bakal menikmati fasiliti kesihatan yang lebih meluas apabila dua buah hospital akan dibina masing-masing di Nilai dan Sendayan”.

Demikian menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan semasa Karnival Kesihatan Wanita Negeri Sembilan 2018 anjuran Pusat Perubatan NSCMH di d’Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan, semalam.

Mohamad melihat seorang penduduk sedang mendapatkan pemeriksaan kesihatan percuma.

Mohamad melihat seorang penduduk sedang mendapatkan pemeriksaan kesihatan percuma.

Tambahnya, pembinaan sebuah hospital kerajaan di Nilai berikutan bandar tersebut yang pesat membangun serta populasinya yang semakin bertambah.

“Pihak kerajaan negeri sedang dalam proses rundingan untuk menentukan sama ada hospital itu bakal diuruskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

“Tetapi, saya berpendapat bahawa supaya hospital ini diuruskan oleh USIM kerana mereka sedia ada mempunyai kepakaran dan juga mempunyai fakulti perubatan dan pergigian.

“Dengan ini, sekiranya hospital di Nilai ini di bawah pengurusan USIM, maka pelajar perubatan USIM tidak perlu lagi menjalani latihan klinikal mereka di luar negeri ini kerana buat masa ini, mereka menjalani latihan klinikal di Hospital Ampang di Selangor dan Hospital Sultan Ahmad Shah di Temerloh, Pahang,” kata Mohamad lagi.

Mohamad juga memberitahu satu lagi hospital swasta akan dibina di Sendayan oleh pemaju Bandar Sri Sendayan, iaitu Matrix Concepts Holdings Bhd.

Mohamad ketika merasmikan majlis.

Mohamad ketika merasmikan majlis.

“KKM memaklumkan bahawa hospital itu ada lebih 400 katil. Kerajaan negeri amat mengalu-alukan pembinaan hospital ini kerana Sendayan semakin pesat dan penduduknya mencecah lebih 10,000 orang,” katanya.

Pada majlis yang sama, Mohamad menyatakan kebimbangannya terhadap sikap masyarakat di negeri Tanah Beradat ini yang tidak mengambil berat tentang kesihatan mereka.

“Kerajaan negeri menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) banyak menyediakan kemudahan pemeriksaan kesihatan percuma seperti mengesan ketumbuhan kanser payu dara dan kanser pangkal rahim tetapi rakyat ramai yang tidak tahu mengenai kemudahan itu,” ujarnya.

Turut diadakan pemberian Baucer Mamogram Pusat Perubatan NSCMH bernilai RM30,000 kepada Pertubuhan Wanita Negeri Sembilan (NSWO) untuk diagihkan kepada 200 wanita di Negeri Sembilan yang memerlukan.

Sementara itu, sorang penduduk Felda Sendayan, Zubaidah Amri, 64, menyatakan penganjuran karnival ini amat bermakna bagi dirinya kerana berpeluang melakukan pemeriksaan mammogram secara percuma dan berharap agar boleh diteruskan pada masa akan datang.

-SF

Tinggalkan komen anda