Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeKelantan

Jualan Murah Untuk Masyarakat Tumpat

By 28 Januari 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto: Siti Noor Asmani Che Mat Saleh (Tumpat)

TUMPAT, 28 Jan (Malaysiaaktif) – Lebih 700 orang pengunjung hadir ke Program Jualan Murah Untuk Rakyat Parlimen Tumpat yang berlangsung hari ini bermula jam 8.00 pagi bertempat di Padang Keretapi Wakaf Bharu, di sini.

Jualan anjuran UMNO Bahagian Tumpat ini merupakan kerjasama antara agensi kerajaan dan swasta seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Pasaraya Pantai Timur Cawangan Tumpat, dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tumpat.

Antara barangan yang dijual di Program Jualan Murah Rakyat Tumpat, semalam.

Antara barangan yang dijual di Program Jualan Murah Rakyat Tumpat, semalam.

Menurut Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Haji Mohd Rosdi Abd Aziz, ini adalah sumbangan kecil kerajaan di dalam mengurangkan bebanan rakyat memandangkan kenaikan harga barangan keperluan harian saban hari.

Seorang pengunjung, Wan Suhaimi Wan Ibrahim, 49, tidak melepaskan peluang untuk berbelanja sebanyak mungkin kerana harga yang ditawarkan jauh lebih murah.

“Contohnya ayam segar dijual dengan harga RM6.20/kg berbanding RM8.00/kg. Saya berharap lebih banyak lagi barangan yang  dijual pada masa hadapan,” ujarnya.

Sementara itu, penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Syafiqah Deraman, 22, yang datang ke sini bersama-sama ibunya sekadar ingin membeli barang dapur tidak menyangka harga ditawarkan cukup murah dan terus memborong untuk dijadikan simpanan.

“Antara barangan yang diborong ialah minyak masak peket, tepung gandum dan gula.

“Barangan ini tetap perlu dibeli walaupun mahal jadi kita perlulah pandai membeli ketika jualan murah. Terima kasih kepada Datuk Rosdi kerana cakna dengan masalah rakyat,” ujarnya lagi.

Gerai yang paling ramai diserbu orang ramai dan terpaksa ditutup awal ialah gerai barangan kawalan seperti tepung gandum, gula dan minyak masak.

Pemiliknya, Ismail Mohd Nor, 58, terpaksa menghadkan penjualan barangan hanya 5kg setiap seorang agar semua pengunjung dapat membeli barangan yang dijualnya.

Turut diadakan pemeriksaan kesihatan percuma oleh Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) Wakaf Bharu.

Turut hadir Pengarah KPDKKK Negeri Kelantan, Datuk Ab. Ghani Harun dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Tumpat, Nik Noriza Nik Salleh.

-SH

Tinggalkan komen anda