
Laporan dan foto: Nur Shafira Mat Hussin (Pasir Puteh)
PASIR PUTEH, 28 Jan (Malaysiaaktif) – Pasir Puteh bakal menjadi kawasan pertumbuhan dan perkembangan ekonomi baharu di Kelantan.
Dipacu dengan pembangunan berimpak tinggi yang kini sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama kerajaan negeri dijangka akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan bukan sahaja untuk penduduk setempat bahkan seluruh Negeri Kelantan umumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER (ECERDC), Datuk Seri Jebasinggam Issace John berkata genap 10 tahun usia ECER yang bermula pada tahun 2008 telah memberikan pelbagai manfaat kepada rakyat terutamanya melalui pelbagai program transformasi ekonomi.
“Dalam usaha membantu rakyat, ECER dengan kerjasama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) telah meluluskan sebanyak RM90.6 juta peruntukan melibatkan 30 syarikat di Kelantan yang mana telah mewujudkan 6,100 peluang pekerjaan.
“Sementara itu, terdapat pelbagai projek yang akan dilaksanakan dan dibangunkan di Pasir Puteh seperti Taman Perindustrian Tok Bali (TBIP) yang dijangka bermula tahun ini bagi menampung keperluan usahawan-usahawan tempatan yang kian meningkat,” ujarnya lagi.
Selain itu, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka akan mempunyai stesen terbesar di Tok Bali, berfungsi untuk mengendalikan kargo dan penumpang sekaligus merangsang ekonomi tempatan serta menjana peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri , Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, menjelaskan islam menggalakkan pembangunan daripada segala faktor dalam diri seseorang.
“Pembangunan dan azam untuk keluar daripada kemiskinan atau masalah adalah disarankan supaya tidak ada yang tertinggal dek kepesatan perkembangan dunia.
“Hari ini kita dapat melihat pelbagai pembangunan akan dilaksanakan di Pasir Puteh, antaranya Pelabuhan Tok Bali yang dijangka akan menyingkatkan masa dan jarak bagi perdagangan rentas sempadan dengan Selatan Thailand dan Indochina seterusnya memacu ekonomi penduduk setempat,” ucapnya ketika merasmikan Empower ECER Pasir Puteh di Kompleks Uthmaniyah, di sini kelmarin.
Majlis turut meraikan seramai 200 orang peserta bagi menyertai Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Empower ECER Mac nanti.
Salah seorang penerima Anugerah Khas Usahawan Bertrasnformasi (HALAL) Entrepreneur ECER, Zainon Salleh yang merupakan pengasas Syarikat ZS Maju Product merasa gembira dan terharu dengan pengiktirafan ini setelah lebih 8 tahun berkecimpung dalam perniagaan produk makanan halal.
“Bimbingan dan latihan melalui dua teras utama iaitu pembiayaan dan kemasukan pasaran serta ilmu pengetahuan mengenai pasaran halal banyak membantu perkembangan syarikat kami.
“Kami berjaya mengembangkan perniagaan dengan membekalkan produk halal keluaran syarikat di pasar raya seluruh Malaysia,” jelasnya lagi.