
Laporan : M Zakry Chan (Melaka) Foto : Ehsan Institut Jantung Negara
MELAKA, 10 Jan (Malaysiaaktif) – Melaka bakal mewujudkan cawangan Institut Jantung Negara (IJN) yang dikenali sebagai mini IJN pertama di Malaysia bagi memberi kemudahan kepada pesakit jantung di Melaka dan utara Johor bagi mendapatkan perkhidmatan rawatan.
“Selain dapat mengurangkan kesesakan pesakit di IJN Kuala Lumpur, cawangan ini akan menjadi pusat pemeriksaan untuk pesakit sebelum dan selepas pembedahan,” ujar Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron ketika berucap merasmikan Operasi Monorel Tour Ride, baru-baru ini.
“Tapak bagi cawangan ini kita telah kenal pasti berhampiran Park Land Kampung Enam, Bachang yang melibatkan keluasan 2.832 hektar dan menelan belanja kira-kira RM100 juta,” tambahnya.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Parit Melana Durian Tunggal, Faizal Basiron, 42, pembinaan institut ini akan memudahkan urusan pesakit dari selatan semenanjung untuk mendapatkan rawatan jantung terutama negeri Melaka yang dikenali negeri pelancongan kesihatan.
“Dengan wujudnya institut ini sudah pasti akan menjana peluang perkerjaan kepada rakyat Melaka, dan secara tidak langsung akan meningkatkan ekonomi negeri Melaka itu sendiri,” ujar Faizal.
Seorang penjawat awam, Azreen Ahmad ,38, menyifatkan pembinaan cawangan IJN ini kena pada waktunya.
“Kebetulan ayah saya seorang pesakit jantung yang telah menjalani pembedahan injap pada tahun 1998 dan kini perlu membuat pemeriksaan susulan bagi memastikan keadaan kesihatannya dalam keadaan baik.
“Sudah pasti dengan adanya cawangan IJN di Melaka ini dapat memudahkan urusan pemeriksaan dan dapat menjimatkan masa serta mengurangkan kos perjalanan. Saya berharap projek ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dan sebagai orang Melaka saya berasa bangga dengan pencapaikan yang dikecapi sekarang,” katanya lagi.