Skip to main content
Berita TempatanSabah

Parlimen Papar, PLUS Ringankan Beban Ibu Bapa

By 8 Januari 2018Tiada komen3 minit bacaan

Laporan & Foto: Mohammad Abdul Rahman (Sabah)

PAPAR, 8 Jan (Malaysiaaktif) – Projek Lebuhraya Usaha Sama Berhad (PLUS) bersama Ahli Parlimen Papar bersatu dalam Program Kembali ke Sekolah sebagai inisiatif kecil meringankan beban kewangan ibu bapa menghadapi kos perbelanjaan persekolahan anak-anak.

Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlen, program yang dilaksanakan sejak 2014 ini turut memberikan bantuan peralatan persekolahan kepada anak-anak daripada keluarga yang kurang bernasib baik.

Antara pelajar yang menerima bantuan persekolahan tersebut

Antara pelajar yang menerima bantuan persekolahan tersebut

“Program ini ialah edisi kesembilan manakala yang keempat kali bersama PLUS Malaysia Berhad (PMB). Setiap tahun program ini amat ditunggu-tunggu oleh para ibu bapa di sini walaupun sedikit terlewat atas masalah teknikal,” katanya.

Rosnah selaku Ahli Parlimen Papar juga berharap program ini terus mendapat sokongan semua pihak, agar sedikit sebanyak mengurangkan bebanan ibu bapa menanggung perbelanjaan sekolah.

Sementara itu, Rosnah turut menyuarakan hasrat rakyat dikawasan ini agar PLUS menjadikan Papar sebagai kawasan Anak Angkat bagi syarikat tersebut di negeri ini.

“PLUS ialah syarikat tol lebuh raya yang beroperasi di semenanjung dan sememangnya telah melaksanakan program  berkonsepkan kebajikan ini setiap tahun,” ujarnya semasa ditemui media di Dewan Masyarakat Papar pada Sabtu.

Sekurang-kurangnya lebih 1000 penerima bantuan hadir dengan 40 buah sekolah melibatkan pelajar sekolah rendah, menengah bersama ibu bapa hadir bersama.

Rosnah turut komited untuk menyelesaikan pelbagai permasalahan rakyat di kawasan ini termasuk yang melibatkan sistem jajaran jalan, jambatan dan perparitan.

“Berdasarkan tiga aspek tersebut, walaupun tidak dapat dilaksanakan secara sekali serentak tetapi masalah berkenaan masih dalam tindakan untuk diselesaikan secara berperingkat dan berterusan.

Rosnah (tengah) memakaikan beg sekolah kepada wakil pelajar penerima bantuan persekolahan

Rosnah (tengah) memakaikan beg sekolah kepada wakil pelajar penerima bantuan persekolahan

“Melalui peruntukan Parlimen dan daripada Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri, sekurang-kurangnya 40 buah jambatan di daerah ini telah dibina serta dibaik pulih dengan melibatkan kos lebih sejuta setakat 2017.

“Malah sebelum ini terdapat pelbagai projek dijalankan dengan mengambil kira sistem baharu seperti sistem Binaan Industri, (IBS) yang lebih tahan lama agar tidak berulang lagi kerosakan akibat faktor cuaca,” katanya.

Rosnah turut mengulas berkenaan isu pelajar sekolah rendah Kaiduan melalui jalan bahaya ke sekolah dengan berkata isu terbabit telah pun dijawab yang menjelaskan jalan yang digunakan merupakan jalan pintas dan pilihan keluarga terbabit.

“Jalan yang digunakan bukan laluan utama penduduk kampung dan untuk makluman di Kaiduan sendiri terdapat tujuh buah jambatan gantung sedia ada telah kita baik pulih setiap tahun.

“Kita ada perancangan dan terdapat senarai permohonan untuk naik taraf serta baik pulih jalan di semua kawasan Parlimen Papar, ketika ini masih menunggu peruntukan”, Ujarnya.

Dalam pada itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kaiduan, Uzair Ki Yahya menjelaskan kejadian lima pelajarnya melalui jalan bahaya di tepi sungai itu berlaku tiga bulan lalu yang hanya ambil masa 10 minit tiba disekolah.

“Mereka ambil risiko melalui jalan terbabit sedangkan jalan utama lebih selamat, cuma mengambil masa 15 hingga 20 minit untuk sampai ke sekolah.

“Saya telah menasihati pelajar dan ibu bapa terbabit agar tidak melalui jalan pintas berkenaan atas faktor keselamatan kerana terdapat laluan lebih selamat digunakan.

“Saya juga telah berbincang dengan Pegawai Pendidikan Daerah Papar dan beliau mencadangkan agar pembinaan asrama Desa di SK Kaiduan bagi memudahkan para pelajar terbabit,” katanya.

-SF

Tinggalkan komen anda