
Laporan dan foto : Aishah Latip / Jaed Tepus (Sarawak)
KUCHING, 16 Jan (Malaysiaaktif) – Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg optimis penubuhan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri seterusnya menyumbang ke arah proses mempercepatkan pembangunan ekonomi negeri.
“Objektif utama penubuhan DBOS adalah untuk memastikan hasil yang dijana daripada aktiviti pembiayaan projek strategik negeri ini akan memakmurkan ekonomi negeri dan rakyat.
“Dengan hasil yang konsisten lagi mapan yang dijana, negeri akan dapat terus menyokong agenda transformasi pembangunan ekonomi negeri,” ujarnya.
Abang Johari merasmikan Pejabat DBOS yang bertujuan mencapai pelan transformasi sosioekonomi untuk tempoh 2017 hingga 2030 di sini, semalam.
DBOS akan memberi tumpuan kepada beberapa projek pembangunan Sarawak seperti sektor ekonomi digital, pengangkutan awam bandar, tenaga yang boleh diperbaharui, industri minyak dan gas, penjagaan kesihatan, pertanian moden serta infrastruktur.
“Malah DBOS ini ditubuhkan untuk menggalakkan pembangunan ekonomi yang strategik dalam negeri Sarawak dan visi DBOS adalah membawa perubahan kepada Sarawak bersama kerajaan negeri dengan memberi tumpuan kepada pembangunan strategik,” jelas Abang Johari lagi.
Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani, dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah dan dibantu Datu Laura Lee Ngien Hion, dan Datu Sharkawi Alis, sebagai antara anggota ahli pengarah.