Skip to main content
Berita TempatanSabah

Bella Tapau Dua Piala Keusahawanan Di Bangkok

By 16 Januari 2018Tiada komen4 minit bacaan

Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Norsidayati Mustari (Sabah)

TAWAU, 15 Jan (Malaysiaaktif) – Kecekalan hatinya menjadi usahawan berjaya yang pernah dipaparkan sebelum ini mengundang ratusan respons daripada netizen yang mengagumi dirinya.

Norsidayati Mustari, 29 atau lebih dikenali sebagai Bella ini menjadi inspirasi pengikutnya di laman sosial Facebook serta ramai ejen produknya kerana bangkit mengubah hidup walaupun bergelar yatim piatu sejak berusia 19 tahun.

Kini Bella semakin menjadi perhatian apabila dia berjaya tapau atau membawa pulang dua piala dalam sebuah majlis penganugerahan yang dihadiri kira-kira 200 usahawan dari seluruh Malaysia. Majlis tersebut telah dianjurkan oleh seorang pakar motivasi terkenal yang telah banyak membantu ramai usahawan di Malaysia hingga berjaya dalam bidang yang diceburi.

Dua piala sebagai pembakar semangat untuk orang Sabah.

Dua piala sebagai pembakar semangat untuk orang Sabah.

“Semasa nama saya diumumkan untuk menerima piala Young Entrepreneur of the Year tu sememangnya rasa terkejut, saya baru tersedar yang umur saya masih di bawah 30 tahun dan masih muda jika dibandingkan dengan usahawan lain.

“Ketika melangkah ke pentas pula saya rasa penuh kesyukuran atas penghargaan yang diberikan dan berterima kasih dengan insan insan yang terlibat memberi semangat kepada saya sepanjang 2017.

“Antara yang selalu menyokong saya pastinya suami, mentor saya sendiri dan sahabat-sahabat yang positif malahan saya juga ketika itu berterima kasih dengan segala dugaan yang datang sepanjang 2017, yang pasti tanpa masalah mungkin saya akan terus rasa selesa dan tidak akan berjuang” ujarnya.

Namun begitu, menurut Bella ketika namanya diumumkan untuk menerima piala kedua untuk Growing Business of the Year, dia memang tidak dapat menahan air mata.

“Semasa melangkah ke pentas untuk ambil piala itu, saya cuma mampu menatap mata mentor saya dan saya dapat rasakan dia bangga dengan pencapaian saya. Saya bayangkan penat lelah sepanjang 2017, cabaran yang dilalui juga team Beautyspells saya yang datang dan pergi. Saya terkenang saat saya dan pasukan saya berjuang siang malam bertawakal dengan ketentuan Allah.

“Saya terkenang saat saya sendiri bungkus barang dalam kotak dan mengangkatnya, bersengkang mata untuk rancang apa-apa yang perlu saya buat bagi meningkatkan jualan,” kata Bella menahan sebak.

Sewaktu menziarahi Bangkok awal tahun ini, Bella telah bertolak awal bagi mencari sumber baru dan idea menarik yang boleh diaplikasikan pada perniagaannya.

“Memang banyak idea sepanjang berjalan di sana, saya perhatikan cara-cara orang Thailand berniaga dan cara layanan mereka terhadap pelanggan.

“Pengalaman begitu banyak memberi kesedaran pada saya tentang cara-cara saya perlu layan pelanggan terutama sekali pasukan Beautyspells.

Bella (kiri) bersama para usahawan yang berasal dari Sabah

Bella (kiri) bersama para usahawan yang berasal dari Sabah

“Saya sudah rancang bagi 2018 saya akan fokus untuk bantu pasukan Beautyspells jana pendapatan, memberi tambah nilai kepada kehidupan orang lain, seperti saya percaya, apa-apa yang saya beri itu yang saya akan dapat,” kata Bella.

Bella juga berharap moga dia dapat menjadi inspirasi kepada wanita terutama suri rumah di Sabah untuk bangkit membantu ekonomi isi rumah. Bella juga berharap moga dia dapat menjadi inspirasi kepada wanita terutama suri rumah di Sabah untuk bangkit membantu ekonomi isi rumah.

“Saya juga mahu memberi kesedaran kepada rakyat Sabah bahawa yang sebenarnya potensi kita sebagai rakyat Sabah untuk berniaga ini sangat luas.

“Jangan pernah rasa kita berniaga sendiri tanpa bantuan daripada kerajaan kerana banyak sumbangan dan bantuan kepada yang ingin berniaga.

“Sekarang baru saya sedar saya juga perlukan bantuan kerajaan sebab selama ini saya rasa saya tidak layak dan sebab itu tidak berani memohon bantuan daripada kerajaan.

“Sekarang minda sudah terbuka dan baru tahu rupanya kerajaan memang ada rancangan dan dana tersendiri untuk usahawan baharu seperti saya,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid turut melahirkan rasa bangga atas pencapaian Bella yang mewakili usahawan Sabah khasnya daerah Tawau.

“Syabas saya ucapkan kepada Bella yang berjaya membawa pulang dua piala untuk masyarakat Sabah dan menjadi usahawan berjaya walaupun pelbagai rintangan yang dihadapi.

“Dalam hidup ini sememangnya banyak cabaran, seperti Bella yang juga merupakan anak yatim piatu, cabaran itu sepatutnya menjadi motivasi kepada kita untuk mengubah perjalanan hidup.

“Apa yang perlu ada ialah keyakinan diri dengan buat yang terbaik, doa, berbuat baik dan juga disiplin serta selalu ingin belajar, yang penting buang perasaan hasad dengki,” kata Jainab ketika ditemui.

Jainab sentiasa menyokong produk usahawan tempatan.

Jainab sentiasa menyokong produk usahawan tempatan.

Jainab juga cukup yakin dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang disandang oleh Bella mampu mengangkat dirinya ke peringkat yang tinggi.

“Alhamdulillah Bella berkawan dengan orang yang betul yang mampu memimpin dia ke jalan yang dia suda capai sekarang, dengan bantuan kerajaan juga insya-Allah dia mampu ke tahap yang lebih tinggi lagi.

“Saya juga ingin sarankan kepada semua usahawan untuk mengelakkan berurusan dengan orang tengah, kerana terbukti banyak usahawan ditipu kerana mengikut jalan pintas.

“Di bawah kementerian saya nanti, seperti  Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) dan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA)  mungkin kami akan panggil Bella agar dia dapat berkongsi kisah kejayaannya kepada usahawan-usahawan muda,” katanya.

Menurut Jainab, MPWS dan JHEWA juga baru sahaja selesai membuat temu ramah kepada kira-kira 150 orang usahawan bagi membantu mereka di bawah Skim CreaM@YWE yang merupakan satu pelan tindakan menggalakkan usahawan wanita muda mendapat peluang menjayakan usaha mereka dalam sektor perniagaan.

“Dalam usaha sebegini, saya berharap lebih ramai usahawan dapat dibantu, dalam TN50 juga kita mahu anak-anak muda kita lebih berdikari, walaupun hidup berdikari pasti ada cabaran.

“Saya juga mengalu-alukan agar usahawan-usahawan ini merebut peluang yang disediakan kerajaan kerana sememangnya banyak bantuan yang disalurkan ke agensi-agensi yang berkaitan.

“Usahawan-usahawan yang sudah berjaya ini pula kita harap mereka dapat berkongsi kejayaan  sebagai pembakar semangat untuk yang lain turut sama berjaya,” ujar Jainab.

-SF 

Tinggalkan komen anda