Skip to main content
Berita TempatanSabah

Tahun Melawat Tambunan 2017 Catat Lebih 80 Ribu Pelancong

By 18 Januari 2018Tiada komen3 minit bacaan

Laporan: Idris Sani Saberun & Sam Mansibu / Foto: Volintine Jiloh (Sabah)

TAMBUNAN, 18 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 86,715 pelancong telah direkodkan sepanjang promosi Tahun Melawat Tambunan 2017.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, ini menunjukkan  bahawa sektor pelancongan di daerah ini boleh maju ke hadapan sekiranya masyarakat setempat serius mengambil bahagian dalam bidang ini.

Menurutnya, sektor pelancongan mampu memberikan pulangan yang lumayan khususnya kepada agen pelancongan, pengusaha inap desa, pengusaha makanan, pengangkutan seterusnya kepada masyarakat setempat.

Katanya, usaha yang telah dibawa oleh kerajaan dalam memperkenalkan daerah Tambunan sebagai destinasi pelancongan seharusnya diteruskan selepas ini.

“Saya mengharapkan pihak swasta atau orang perseorangan yang mempunyai kemampuan dan minat agar meneruskan usaha ini untuk terus membawa para pelancong dari dalam dan luar negara mengunjungi daerah yang terkenal dengan jolokan The Switzerland of the East,” katanya lagi.

Joseph berkata demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Krismas 2017, Majlis Kesyukuran Pelaksanaan Tahun Melawat Tambunan 2017 dan Sambutan Tahun Baharu 2018 peringkat daerah Tambunan di Pisompuruan Square dekat sini, pada Khamis.

Pairin turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua pihak atas sumbangan dan kerjasama dalam menjayakan Tahun Melawat Tambunan 2017 yang lalu.

Jelasnya lagi, sesungguhnya Tahun Melawat Tambunan banyak memberi impak besar kepada masyarakat di Tambunan terutama kepada pengusaha dan usahawan tempatan dalam mengetengahkan hasil kraf tangan dan produk kepada pengunjung.

Tambahnya, usaha menjadikan Tambunan sebagai lokasi pelancongan tidak berhenti bergitu sahaja tetapi tetap akan diteruskan dengan menaik taraf tempat-tempat pelancongan selain akan mengadakan beberapa program tahun ini antaranya Silat Nusantara dan Pesta Tanglung.

Pairin tertarik dengan keunikan penyediaan makanan dari Kg. Mangi-Pangi dan Kg. Tangaban yang menggunakan buluh sebagai tempat menyimpan juadah yang dikenali dengan nama 'Kalumpang'

Pairin tertarik dengan keunikan penyediaan makanan dari Kg. Mangi-Pangi dan Kg. Tangaban yang menggunakan buluh sebagai tempat menyimpan juadah yang dikenali dengan nama ‘Kalumpang’

Terdahulu, Pegawai Daerah Tambunan, Thomas Logijin menyatakan sepanjang penganjuran Tahun Melawat Tambunan 2017 sebanyak 22 program telah dianjurkan bagi menarik kehadiran pelancong ke daerah ini.

Antara program yang mendapat sambutan yang amat menggalakan daripada pelancong ialah Karnival Kaamatan Tambunan, Pemeran Eko-Pelancongan & Festival Muzik Tambunan, Sambutan Pesta Kaamatan Daerah Tambunan serta Tamu Besar Tambunan.

Jelasnya, melalui 22 program yang telah dilaksanakan sepanjang kempen Tahun Melawat Tambunan 2017, daerah tersebut telah menerima kemasukan pelancong seramai 78,131 orang yang terdiri daripada pelancong dari dalam negeri (Sabah), 6,880 orang pelancong dari dalam negara manakala 1,704 merupakan pelancong dari luar negara.

“Tempat pelancongan yang paling ramai mencatat kehadiran pelancong adalah Air Terjun Mahua iaitu seramai 19,169 pengunjung, seterusnya Tugu Mat Salleh 18,571 dan Sinurambi dengan 18,000 pengunjung selama Tahun Melawat Tambunan dilaksanakan.

“Daripada 16 penginapan yang ada di Tambunan turut mencatatkan seramai 14,550 orang menginap tahun lalu. Pelawat dalam negeri seramai 12,406, dalam negara seramai 1,387 dan 757 orang penginap dari luar Negara.

Pairin (tengah) bersama-sama Pengurus Besar Projek SESB, Ir. John Gomez (tiga kanan) menyampaikan bantuan peralatan persekolahan kepada pelajar-pelajar sekolah rendah sekitar daerah Tambunan

Pairin (tengah) bersama-sama Pengurus Besar Projek SESB, Ir. John Gomez (tiga kanan) menyampaikan bantuan peralatan persekolahan kepada pelajar-pelajar sekolah rendah sekitar daerah Tambunan

“Ini menunjukkan pelaksanaan Tahun Melawat Tambunan berjaya mencapai objektifnya iaitu menjadikan Tambunan sebagai satu destinasi pelancongan khasnya di negeri ini dan di Malaysia amnya dan berjaya meningkatkan pendapatan pengusaha-pengusaha tempatan,” jelasnya lagi.

Turut diadakan penyampaian bantuan peralatan sekolah kepada 100 pelajar terpilih daripada sekolah rendah di kawasan Daerah Tambunan sumbangan daripada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

-SF

Tinggalkan komen anda