
Laporan Oleh : Muhamad Nawawi Kasa
PENDANG, 27 Feb (Malaysiaaktif) – Program Inisiatif Melestari Pembangunan Komuniti (1MPAK) yang dianjurkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah berlangsung di Daerah Pendang pada Ahad lalu dengan membawa pelbagai peluang serta program khidmat bakti kepada masyarakat.
Menurut Pengarah MARA Negeri Kedah, Haji Ramli Deraman, 1MPAK telah dilancarkan pada 27 Januari 2018 di Bera, Pahang merupakan satu kesinambungan usaha MARA dalam menerajui agenda pembangunan bumiputera di kawasan luar bandar melalui pendekatan baru yang lebih dinamik.
“Segala inisiatif MARA dihimpunkan di bawah empat fokus utama iaitu pendidikan, peluang pekerjaan, keusahawanan dan tanggunjawab korporat sosial MARA yang akan dibawa terus ke akar umbi dalam meningkatkan tahap sosio ekonomi masyarakat luar bandar,” ujarnya lagi.
Program 1MPAK ini menampilkan khidmat menyelengara motosikal secara percuma oleh pelajar GIATMARA dan khidmat memotong rambut percuma oleh usahawan Hit Barber.
Ketika ditemui, seorang peserta, Dzulbakhtiar Rajudin, dia merasa amat berbesar hati dapat bersama MARA dalam memberi khidmat bakti dan ia satu inisitif yang baik kerana membawa manfaat kepada masyarakat tempatan.
Menurutnya lagi, “hari ni kami juga ada membuat demonstrasi dan menyampaikan maklumat berkaitan program kepada pengunjung. Harapan saya semoga program ini memberi inspirasi dan motivasi kepada kumpulan belia yang hadir bagi mendalami serta menceburi bidang ini sehingga ke tahap profesional.”
Ahli Parlimen Pendang, Datuk Wira Othman Abdul, dalam ucapan perasmian percaya bahawa ini bukan cakap kosong kerana sumbangan MARA dalam pembangunan Bumiputera di Pendang amat besar sekali.
Menurutnya seramai 35 usahawan yang telah dibantu untuk meningkatkan lagi perniagaan mereka dengan pembiayaan berjumlah hampir RM3 juta dibawah Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres Kontraktor Kelas G1-G5 (SpiKE), Skim Pembiayaan Golongan Belia B40 (PUTRA), Skim Pembiayaan Mudah Jaya Had Kelayakan Sehingga RM500ribu (SPiM) dan Skim Pembiayaan Mudah Jaya Usahawan Tekno (SPiM Techno).
Salah seorang pengunjung, Zulkifli Man, 52, melahirkan rasa gembira kerana jelajah 1MPAK, MARA juga telah mengambil kesempatan untuk melaksanakan transaksi tanpa tunai apabila mengedarkan baucar elektronik “One2Pay” bagi pengunjung membuat bayaran di trak makanan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat luar bandar pengalaman baru untuk merealisasikan masyarakat tanpa tunai.
Program 1MPAK mendapat sambutan yang amat menggalakkan kerana seramai 2500 pengunjung hadir ke program ini.
– MRR