Laporan dan foto : Ramasamy Amas (Jempol)
SEREMBAN, 16 Feb (Malaysiaaktif) – Lebih 4000 orang terdiri daripada pelbagai kaum menghadiri rumah terbuka sempena Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Kerajaan Negeri Sembilan bersama Badan Perhubungan MCA Negeri Sembilan di Perkarangan Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) hari ini.
“Inilah keunikan dan keistimewaan Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, mempunyai kepelbagaian budaya dan perbezaan beragama, dapat bersama-sama merayakan Tahun Baharu Cina dengan meriah dalam keadaan suasana aman dan damai, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohammad Hasan ketika menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.
“Kita sangat beruntung menjadi rakyat Malaysia kerana hari ini kita bersama-sama merayakan perayaan ini sebagai satu keluarga.
“Kita perlu bersatu dan kekalkan kebudayaan yang unik ini agar generasi belia tidak lupa dengan budaya yang diwarisi zaman berzaman ini,” jelasnya lagi.
Beliau juga menyeru kepada masyarakat Cina untuk terus mengekalkan kepimpinan kerajaan sedia ada agar dapat berkhidmat untuk rakyat demi memakmurkan negeri.
Sebelum itu Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Sembilan Datuk Seri Lim Chin Fui berkata sambutan rumah terbuka ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
“Kehadiran orang ramai terdiri daripada pelbagai kaum mencerminkan perpaduan dan keharmonian antara kaum,” ujarnya.
Sementara itu, S.Batumalai, 48, ketika ditemui melahirkan rasa gembira dan teruja kerana pertama kali dapat hadir Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina dan dapat menikmati makanan dan minuman yang enak.
Sementara itu, Law Chee Moi, 56, sangat gembira dapat merayakan tahun baharu kali ini dengan kawan kawan beragama Hindu dan Islam sebagai satu keluarga.
“Saya amat berharap agar tradisi ini dapat dikekalkan,” katanya.