
Laporan dan foto : Mohd Noor Mahmuddin & Wan Seman Wan Bedollah (Jeli)
JELI, 24 Feb (Malaysiaaktif) – Amanah Ikhtiar (AIM) Cawangan Jeli diberi peruntukan tambahan sebanyak 2 peratus tahun ini kepada RM24.5 juta berbanding tahun lepas sebanyak RM22.81 Juta.
Peruntukan besar tersebut adalah untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan dan secara langsung dapat mengurangkan kadar kemiskinan di negara ini.
Menurut Ketua Pegawai Operasi AIM Zon Timur, Norzawiyah Ahmad, AIM bukan sahaja untuk membantu golongan-golongan miskin, malah secara tidak langsung dapat membantu menjana ekonomi negara ke arah yang lebih baik.
“Dengan dana yang disalurkan oleh AIM kepada Sabahat AIM ini ia akan mengurangkan kemiskinan dalam kalangan isi rumah miskin dan termiskin di Malaysia.
“Dengan menyediakan pembiayaan kredit mikro, ia dapat membiayai kegiatan-kegiatan yang boleh menambah dan meningkatkan pendapatan,” katanya dalam Program Himpunan Usahawan dan Kenduri Sahabat AIM Jeli yang dilansungkan di Dewan Tok Pa, Bukit Nangka, Jeli hari ini.
AIM turut membantu menyediakan kemudahan kewangan berterusan kepada usahawan-usahawan ikhtiar.
“Bimbingan dan latihan berterusan diberikan kepada isi rumah miskin, termiskin dan juga untuk usahawan-usahawan ikhtiar.
“Setakat ini seramai 2,241 ahli telah menyertai Kelab Usahawan Sahabat Jeli (KUSJ) dan AIM Jeli mensasarkan seramai 2,500 orang ahli tahun ini dan sebab itulah peruntukan AIM Jeli tahun ini bertambah,” ujarnya lagi.
AIM mengalukan lebih banyak penyertaan kerana peserta bukan sahaja diberi modal dan pinjaman tetapi juga bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu sahabat yang memerlukan.
Tahun ini AIM memberi modal pinjaman kepada ahli sebanyak RM30 ribu seorang berbanding RM20 ribu tahun lepas.
“Ini bermakna peranan AIM begitu besar dalam membantu golongan-golongan yang kurang berkemampuan dan memerlukan di samping melihat lebih ramai kemunculan usahawan-usahawan pada masa akan datang,” tambahnya lagi.
Terdapat lima produk ditawarkan AIM, Ikhtiar Rezeki (Ikhtiar Mesra, Ikhtiar Srikandi, Ikhtiar Wibawa, dan Ikhtiar Wawasan), Ikhtiar Penyayang, Ihktiar Bestari, Ikhtiar Sejahtera dan Program Keewangan Mikro Bandar
Sahabat AIM Jeli, Rahimah Mustafa, 50, berkata golongan wanita bukan sahaja berperanan sebagai seorang isteri atau ibu namun turut dapat menyumbang kepada sumber pendapatan keluarga menerusi usaha dilakukan mereka.
“Program dijalankan AIM membolehkan golongan ibu seperti saya bergerak untuk menyumbang kepada sektor ekonomi keluarga dan negara menerusi aktiviti perniagaan secara terancang,” ujarnya.
Program ini telah disempurnakan oleh Pengarah Penerangan Negeri Kelantan, Azahar Ismail yang mewakili Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Turut hadir ialah Pengurus Wilayah AIM Kelantan Selatan, Hashim Rajimun, Pengurus AIM Jeli, Zulkifli Md. Lasi dan Pengerusi Kelab Usahawan Sahabat Jeli, Maznah Abdullah.