
Laporan dan foto : Rosli Md. Zin (Bachok)
BACHOK, 18 Feb (Malaysiaaktif) – Ribuan pengunjung membanjiri Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor 2 semalam bagi menyaksikan program persembahan Pentarama anjuran Jabatan Penerangan.
Persembahan ini turut dijadikan pentas untuk menyampaikan mesej-mesej kerajaan melalui hiburan.
Datuk Radzuan Abdullah, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Tawang gembira dengan sambutan hangat serta kehadiran pengunjung yang begitu ramai.
“Kehadiran orang ramai malam ini disebabkan orang kita sudah boleh menerima penyampaian mesej melalui hiburan dan tidak menganggap hiburan ini hanya membawa keburukkan sahaja.
“Hiburan yang mempunyai mesej dan tidak melampaui batas syarak adalah dibenarkan,” ujarnya.
Sementara itu seorang pengunjung program, Azmi Hassan, 26, berkata beliau datang ke sini apabila mendengar hebahan oleh Jabatan Penerangan.
“Saya ingin menyaksikan apakah itu pentarama dan merasa seronok walaupun pertama kali menyaksikan dan tidak menolak untuk hadir lain kali jika diadakan lagi,” jelasnya.
Manakala Samsiah Mamat, 35, cukup teruja melihat sketsa yang penuh pengajaran dan merasa kagum apabila isu-isu semasa dikaitkan di dalam persembahan mereka.