
Laporan dan foto : Azmi Abd. Rahman & Mohd Sukri Ismail (Machang)
MACHANG, 18 Feb (Malaysiaaktif) – Seramai 40 orang rombongan dari Pendang, Kedah mengadakan lawatan ke Kampung (Kg.) Pangkal Petai, di sini hari ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Sambutan program, Abdul Rahman Idris, 76, perbincangan dengan ketua rombongan dari Kedah telah bermula sejak dua bulan lepas.
“Program lawatan ini mampu mengukuhkan integrasi serta mengeratkan lagi hubungan di antara dua negeri.
“Program lawatan ini sebenarnya merupakan timbal balik ke atas lawatan yang telah dibuat oleh rombongan dari Kg. Pangkal Petai ke Pendang, Kedah tahun lepas,” jelas Abdul Rahman.
Sementara itu, ketua rombongan dari Kedah, Ismail Hassan, 54, merasa sangat teruja dengan persembahan dikir barat yang membabitkan pendikir cilik.
“Kami sangat gembira di atas sambutan yang amat meriah daripada penduduk kampung ini. Di samping itu, masyarakat di sini juga ramah dan mudah mesra.
“Program seumpama ini sememangnya perlu diadakan dengan lebih kerap kerana dapat merapatkan hubungan serta mengenali dengan lebih dekat budaya dan cara hidup masyarakat di negeri yang berbeza,” katanya lagi.