
Laporan dan foto : Aishah Latip & Parno Salamat (Kuching)
KUCHING, 24 Mac (Malaysiaaktif) – Enam buah klinik pergigian bakal dibina di kawasan pedalaman Sarawak di bawah Rancangan Malaysia ke-11(RMK-11) bagi memudahkan masyarakat di luar bandar menikmati perkhidmatan penjagaan kesihatan mulut.
Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata enam buah klinik pergigian tersebut akan dibina di Asajaya, Kabong, Pusa, Jepak, Sungai Asap dan Brang Bayur.

Abang Johari (tiga dari kiri) menyempurnakan perasmian Kongres Pergigian Borneo ke-8 di sebuah hotel di sini.
“Bagi daerah yang tidak mempunyai klinik pergigian, program jangkauan diadakan secara berterusan dalam bilangan, kekerapan dan tempoh setiap lawatan.
“Malah, perkhidmatan penjagaan kesihatan mulut turut terlibat secara aktif dalam Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat khususnya di luar bandar,” kata Abang Johari semasa menyempurnakan Majlis Perasmian 8th Borneo Dental Congress and Trade Exhibition, hari ini.
Program jangkauan ini turut meliputi masyarakat Penan di Sarawak yang terdapat di empat bahagian iaitu Miri, Bintulu, Limbang dan Kapit yang bertujuan untuk meningkatkan status kesihatan mulut komuniti Penan.
“Peningkatan akses kepada penjagaan kesihatan mulut tetap dijalankan walaupun menghadapi kesukaran dan cabaran dalam mengakses kawasan di pedalaman dengan medan geografi yang kasar dan kemudahan terhad yang disediakan seperti bekalan air di kawasan tertentu,” tambah Abang Johari.
Di bawah Program Penan Outreach, pada tahun 2016, daripada jumlah 2,500 peserta, kira-kira 50% adalah Penan. Manakala pada tahun 2017, daripada 4,000 peserta, kira-kira satu pertiga adalah Penan.
Inovasi “One Day Full Dentures” merupakan salah satu inisiatif yang dihasilkan oleh Dr. Tay Keng Kiong yang dapat menarik orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan gigi palsu dengan cepat berbanding cara konvensional yang memerlukan empat atau lima kali lawatan untuk membuat gigi palsu.
Kongres yang bermula semalam hingga Ahad ini dihadiri oleh 434 orang terdiri daripada 217 pakar pergigian dan doktor pergigian serta 123 staff sokongan pergigian.
Pada masa sama, terdapat 40 gerai pameran dan jualan yang melibatkan 37 organisasi yang turut mempamerkan barangan dan bahan-bahan pergigian serta beberapa teknologi baharu untuk digunakan dalam perkhidmatan kesihatan mulut.
Turut hadir, Presiden Persatuan Pergigian Malaysia, Dr. Ng Woan Tyng, Pengerusi Persatuan Pergigian Zon Timur, Dr. James Chhoa Jau Min, Pegarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr. Jamilah Hashim, dan Timbalan Kesihatan Negeri Sarawak (Pergigian) Dr. Yaw Siew Lan.