
Laporan dan foto : Mohd Hussin Abdullah (Tumpat)
TUMPAT, 29 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 1326 orang mangsa banjir di daerah sini menerima bantuan wang ihsan banjir dengan kos sebanyak RM663 ribu di Dewan Maktab Rendah Sains Mara Tumpat, semalam dan disampaikan oleh Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Mohd Rosdi Abd. Aziz.
Mohd Rosdi berkata, Program Penyampaian Bantuan Wang Ehsan ini diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Banjir (NADMA) yang mengagihkan sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM500 setiap keluarga yang dilanda banjir baru-baru ini.

Rosdi (tengah) menjelaskan sumbangan seperti ini sangat membantu meringankan beban mangsa bencana banjir.
“Setiap keluarga yang dilanda banjir dan berpindah ke pusat pemindahan banjir layak menerima bantuan wang ihsan RM500.
“Dengan adanya sumbangan seperti ini dapatlah membantu dan meringankan beban mangsa bencana banjir kali ini,” ujarnya.
Menurut seorang suri rumah, Zainab Yaacob, 45, dari Kampung Jejuluk, Pengkalan Kubor, bantuan seumpama ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan.
“Saya sudah hampir 30 tahun menetap di kampung ini dan tiap-tiap tahun rumah ditenggelami air, saya bersyukur pihak kerajaan setiap tahun memberi bantuan dalam meringankan beban kami,” katanya.
Sementara itu, Azri Abd. Aziz, 46, berharap agar pihak kerajaan segera membina benteng tebing sungai Golok untuk mengelak berlakunya banjir dan bantuan kepada mangsa banjir perlu diteruskan.
“RM500 akan kami gunakan sebaik mungkin untuk keperluan kami sekeluarga,” ujarnya.