Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Sekolah Dipelawa Anjur Kempen Kesedaran Derma Darah

By 24 April 2018Tiada komen3 minit bacaan

Laporan dan foto oleh: Yahya Rajak(Sabah)

 

KOTA KINABALU, 24 Apr (Malaysiaaktif) –  Sekolah-sekolah di negeri ini dipelawa bagi mengadakan penganjuran Kempen Kesedaran Derma Darah sebagai satu pendekatan kesedaran kalangan pelajar untuk membantu menderma darah di hospital berhampiran.

Mewakili Ketua Unit Transfusi Darah Hospital Queen Elizabeth Dua, Pegawai Perubatan, Dr. Jamaluddin Mail berkata kolaborasi bersama Jabatan Pendidikan Negeri merupakan suatu langkah amat penting dalam usaha memberi kesedaran derma darah kalangan pelajar sekolah.

“Bagi tempoh tahun ini sebanyak 2000 pain darah diperlukan untuk menampung keperluan penggunaan di hospital seluruh negeri Sabah setiap bulan.

“Peningkatan ini berikutan wujud pertambahan penggunaan bagi merawat pesakit Thalasemia, Ibu mengandung termasuk di Pusat Tabung Darah Sabah dan Pusat Rawatan Nuklear, Radioterapi dan Onkologi.

“Rekod menunjukkan hingga kini seramai 1,996 pesakit Thalasemia telah direkodkan di negeri ini,” katanya.

Ujarnya lagi, berikutan peningkatan keperluan bekalan darah ini menyebabkan kesedaran awal sebagai penderma di peringkat sekolah menengah perlu agar kesinambungan penderma baharu berlaku setiap masa.

Dr Jamaluddin berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat di Pejabat Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Hajah Maimunah Suhaibul di Wisma Pendidikan Negeri di sini pada isnin.

Pada kunjungan tersebut Pengarah Pendidikan turut mendengar taklimat mengenai perkembangan semasa Unit Transfusi Darah Negeri Sabah yang disampaikan oleh Pegawai Seranta Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah, Yahya Abdul Rajak.

Maimunah (tengah) turut mendengar penerangan perkembangan keperluan Unit Transfusi Darah oleh Pegawai Seranta HWKKS, Yahya Abdul Rajak.

Maimunah (tengah) turut mendengar penerangan perkembangan keperluan Unit Transfusi Darah oleh Pegawai Seranta HWKKS, Yahya Abdul Rajak.

Dr.Jamaludin juga berharap kunjungan tersebut dapat melahirkan  kerjasama erat antara Jabatan Pendidikan Negeri dengan pihak hospital bagi melaksanakan kempen kesedaran derma darah di peringkat sekolah-sekolah menengah di seluruh sabah.

“Aktiviti kesedaran ini bukan sahaja tertumpu kepada pelajar sekolah yang berumur 17 tahun ke atas tetapi turut meliputi kakitangan pentadbiran sekolah dan juga Persatuan Ibu Bapa dan Guru di sekolah terbabit untuk sama-sama menjadi penderma darah.

Katanya lagi, kempen yang dijalankan ini melibatkan semua golongan bukan sahaja pelajar malah ibu bapa pelajar dan masyarakat di sekitar kawasan sekolah terbabit.

“Setiap pelaksanaan kempen turut diadakan beberapa pengisian sampingan seperti taklimat kesedaran terhadap penyakit Thalasemia dan juga pemeriksaan kesihatan selain derma darah.

“Semoga perkongsian maklumat dan kerjasama ini akan dapat membuka minda dan kesedaran malah keinginan untuk menderma darah,” ujarnya.

Tambahnya lagi, masyarakat tidak seharusnya terlalu percaya terhadap kesan negatif seperti kegemukan atau sebaliknya, akibat daripada menderma darah tetapi dengan menderma tersebut ia banyak membantu memulihkan peredaran darah dalam badan untuk merasa lebih baik dan sihat.

“Oleh itu, kelulusan Jabatan Pendidikan Negeri membenarkan hospital menjalankan kempen bersama pihak sekolah, PIBG dan masyarakat setempat ini ialah suatu usaha baik bagi meningkatkan bekalan tabung darah di negeri ini.

“Untuk makluman statistik, kutipan bekalan darah bagi tahun 2017 ialah sebanyak 53,341 pain dengan jumlah penderma seramai 73,450 orang, manakala penggunaan ialah 60,461 pain yang direkodkan bagi tahun berkenaan.

“Kesan daripada keperluan yang tinggi ini, saya berharap lebih ramai lagi pelbagai pihak dapat menganjurkan kempen kesedaran ini untuk membantu menyelamatkan nyawa para pesakit yang memerlukan sumbangan darah berkenaan,” jelasnya ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan berkenaan.

Bagi mana-mana sekolah yang ingin mengadakan Kempen Kesedaran Menderma Darah boleh berhubung terus ke Hospital berhampiran atau menghubungi Hospital Queen Elizabeth  dua di talian 088-324600 samb.2077/1011 atau Hospital Wanita dan Kanak-Kanak 088-437184 atau menghantar permohonan ke Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.

 

 

-MRR

Tinggalkan komen anda