Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Legenda Di Sebalik Jambatan Tamparuli

By 24 April 2018Tiada komen3 minit bacaan

Laporan oleh: Fauzrina Bulka/Foto: Azman Jumat (Sabah)

 

KOTA KINABALU, 24 Apr (Malaysiaaktif) – Tamparuli merupakan sebuah pekan kecil yang terletak dalam daerah Tuaran, Sabah memang terkenal dengan Jambatan Gantungnya. Selama ini perkiraan penulis tentulah ia terkenal kerana seni buatannya yang berusia puluhan tahun, tetapi rupanya ia terkenal kerana legenda yang berlaku di sebaliknya.

Datuk Masidi Manjun

Datuk Seri Panglima Masidi Manjun

Menurut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun legenda itu bermula sekitar tahun 1950-an ketika jambatan itu baru sahaja dimulakan pembinaannya.

“Seorang pegawai British bernama Robinson yang ditugaskan untuk menyelia kerja-kerja pembinaan telah jatuh cinta dengan seorang gadis tempatan yang cantik bernama Solungkoi manakala dalam diam-diam seorang pemuda tempatan bernama Intang turut menyimpan hati padanya.

“Tetapi Solungkoi tetap memilih Robinson mungkin kerana lebih berpangkat kerana Intang hanya bekerja sebagai kuli. Namun begitu, pembinaan jambatan sering kali gagal dan mudah runtuh setiap kali dilanda banjir besar.

“Kerana risau, Robinson mengarahkan Intang mencari punca masalah jambatan tersebut hingga membawa perjumpaan dengan Odu, yang merupakan seorang bomoh yang arif dalam ilmu ghaib. Ini kerana pada ketika itu, penduduk masih percaya benda-benda ghaib seperti Tombuakar (hantu air),”jelasnya.

Tambahnya, Odu yang dapat mengenal pasti masalah tersebut, memberitahu Intang yang kononnya Tombuakar marah kerana tapak pembinaan jambatan tersebut telah mengganggu kawasan tempat tinggalnya.

Hosiani Jaimis (Keewon) sebagai Solungkoi

Hosiani Jaimis (Keewon) sebagai Solungkoi

“Sebagai tanda memohon maaf Tombuakar mahukan nyawa seorang sumandak (gadis) yang cantik sebagai temannya , tetapi tiada gadis lain yang cantik selain Solungkoi. Namun kerana cemburu dan dengam, Intang menghasut Robinson untuk mengorbankan Solungkoi.

“Demi tugas dan jawatannya, Solungkoi akhirnya dikorbankan . Yang pasti, selepas lebih 60 tahun, Jambatan Tamparuli tetap utuh dan kekal digunakan oleh penduduk kampung yang menguatkan lagi kebenaran kisah legenda ini,”kata Masidi kepada pemberita dalam sidang media di Lembaga Kebudayaan Sabah (LKS) pada Isnin.

Beliau berkata, Sabah Fest sejak 30 tahun penganjurannya bermula 1988 sering mengetengahkan teater muzikal berkisarkan kisah rakyat Sabah sejak 2010.

“Teater ini akan berlangsung selama tiga hari berturut-turut bermula 4 hingga 6 Mei di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sabah (JKKNS).

“Pementasan ini akan menggunakan 100 peratus Bahasa Melayu baku dan dipentaskan menggunakan bakat temptan Sabah seperti Hosiani Jaimis (Keewon) sebagai Solungkoi, Jayfrejoe Japrin (JoeJaprin) sebagai Intang, Dayang Hasnah Ibrahim sebagai Odu dan Sakinah.

“Tenaga luar digunakan membawa watak Robinson iaitu Dane Kovacs dipilih kerana kebolehannya bertutur dalam bahasa Melayu baku dengan fasih dan aktif dalam laman sosial facebook Orang Putih Kita,”jelasnya.

Dane Kovaks

Dane Kovaks

“Pada mulanya saya tidak mahu, tetapi pihak produksi bersedia untuk membantu kerana ini merupakan pementasan teater saya yang pertama apatah lagi saya perlu memahami karakter dan menghayati babak percintaan.

“Cabarannya ialah saya perlu bertutur dalam bahasa Melayu baku dan perlu menyanyikan lagu yang saya tidak pernah dengar, itu membuatkan saya takut tetapi saya anggapnya cabaran yang baik untuk mencari pengalaman.

“Saya harap penonton akan lebih menghargai sejarah selepas menonton pementasan ini dan seronok menontonnya kerana dilakonkan oleh mereka yang sememangnya berbakat dan saya sendiri menikmati peluang yang diberikan bekerja bersama mereka,”kata Dane.

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan tiket pementasan Solungkoi boleh dapatinya di pejabat LKS atau pun secara atas talian di KADAIKU.COM.

 

 

 

-MRR

Tinggalkan komen anda