Skip to main content
Berita TempatanHomeLabuan

Khalid Komited Lihat Labuan Membangun

By 13 Julai 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan : Nabilah Norasir & Mohd Faizal Mansor
Foto : Roziman Mahmudin (Labuan)

LABUAN, 13 Jul (Malaysiaaktif) – “Walaupun saya bukan dari Wilayah Persekutuan Labuan tetapi saya komited untuk melihat Labuan ini dibangunkan sepertimana dua lagi wilayah yang berada di bawah kementerian saya.

“Kita mahu melihat Labuan dibangunkan dan menjadi satu wilayah yang maju dengan mengenalpasti asas-asas kekuatan yang ada pada Labuan dan industri-industri yang boleh dibina sebagai pemacu ekonomi dan pembangunan bagi wilayah ini” kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad sempena lawatan kerja ke Labuan selama 2 hari bermula hari ini.

Khalid (dua dari kiri) ketika mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua jabatan dalam lawatan kerjanya.

Khalid (dua dari kiri) ketika mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua jabatan dalam lawatan kerjanya.

Khalid menyeru agar semua anggota agensi kerajaan dan pengurusan Perbadanan Labuan untuk memberikan kerjasama dan sokongan yang sepenuhnya kepada usaha membangunkan Labuan sehingga mencapai visi dan misi yang telah ditetapkan.

“Kita perlu ada visi dan misi yang lebih jelas bagi hala tuju untuk membangunkan wilayah Labuan dan kita tidak boleh terlalu bergantung kepada sektor minyak dan gas,” tambahnya kepada pemberita pada sidang media yang diadakan di Wisma Perbadanan Labuan, disini hari ini.

Khalid turut menegaskan semua agensi kerajaan yang bekerja dibawah kementerian dan juga perbadanan untuk tidak meneruskan budaya politik lama dan rasuah dalam agensi kerajaan.

“Kita semua ada hak untuk memilih dan menyokong parti politik masing-masing selagi mana ianya merupakan parti politik yang sah dan berdaftar dan jangan bawa hal politik dalam urusan pejabat di mana kita sebagai kakitangan kerajaan mempunyai kewajipan dan tanggungjawab untuk membangunkan Labuan demi manfaat dan kebaikan rakyat.

“Saya tidak akan bertoleransi terhadap salah laku rasuah serta penyelewengan dan apa yang saya mahu adalah satu tadbir urus yang bersih dan komited dalam memberikan khidmat kepada rakyat,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat Labuan beliau menyatakan pihaknya akan membuat kajian dan perbincangan terhadap masalah-masalah yang melanda rakyat Labuan.

“Saya telah mendengar masalah-masalah yang dihadapi dan meminta pihak-pihak yang mengemukakan masalah itu untuk mengemukakan cadangan penyelesaian dan kalau didapati pendekatan yang dikemukakan itu adalah munasabah maka kita akan cuba usahakan dengan sebaik mungkin,” ujarnya.

Pada lawatan kerja dua hari tersebut, Khalid dijadualkan mengadakan Lawatan Turun Padang ke Medan Selera, Tapak Masjid Terapung di Pasar Lama, Projek Bagang Kampung Rancha-Rancha dan Kampung Sungai Labu serta Projek Pengusaha Ikan Bilis Kampung Bebuloh Laut.

Turut serta, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikshan.

-SH

Tinggalkan komen anda